DUN Sabah sokong pinda Perlembagaan Persekutuan

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Karanaan Datuk Seri Masidi Manjun (dua, kiri) membincangkan sesuatu dengan ADUN Kawasan Elopura Calvin Chong (tiga, kanan), ADUN Kawasan Luyang Phoong Jin Zhe (dua, kanan) dan ADUN Kawasan Paginatan Datuk Abidin Madingkir (kiri) sebelum Persidangan DUN Sabah bermula, semalam. – Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah malam ini, sebulat suara menyokong usul tergempar supaya pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan dibawa semula ke Parlimen secepat mungkin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan, Datuk Masidi Manjun membawa usul itu jam 9.45 malam tadi, sebelum Speaker DUN Sabah, Datuk Syed Abas Syed Ali membenarkan usul itu dibahaskan oleh wakil rakyat.

Empat ADUN termasuk Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membahaskan usul itu selain, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan, Datuk Dr Jeffrey Kitingan; ADUN Kemabong, Jamawi Jaafar dan ADUN Matunggong, Juwita Majungki, dengan semuanya menyokong usul berkenaan.

Terdahulu, Masidi dalam usulnya itu berkata, pindaan untuk mengembalikan peruntukan asal perkara itu adalah tuntutan utama rakyat Sabah sejak dahulu sama ada di DUN Sabah atau Dewan Rakyat.

“Saya fikir dewan ini perlu nyatakan dengan tegas dan bersatu padu tanpa mengira pandangan politik kita bahawa apabila bercakap untuk menuntut hak kita dengan satu suara.

“Secara simboliknya saya kemukakan usul ini sebagai cerminan kehendak rakyat Sabah bahawa kita mahu perkara itu dipinda. Usaha berterusan perlu dibuat bagi merealisasikan hasrat rakyat Sabah,” katanya.

Dalam sidang medianya, Mohd Shafie berkata, DUN Sabah perlu menyokong pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan untuk membolehkan perkara itu dapat dikemukakan kepada Perdana Menteri.

“Perkara ini penting dan perlu disokong di peringkat DUN bagi memenuhi kehendak pihak tertentu. Ini menunjukkan bahawa pandangan kita sudah pun diutarakan dan kita bahaskan dalam sidang DUN.

“Sehubungan itu, kita berharap ia dapat diberi perhatian sebaik mungkin oleh Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad),” katanya.

Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2019, tidak dapat diluluskan di Dewan Rakyat, baru-baru ini kerana kerajaan gagal memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Parlimen untuk meminda Fasal 2 Perkara 1 Perlembagaan apabila 138 daripada 221 wakil rakyat menyokong pindaan itu, manakala 59 orang berkecuali.

Sementara itu, sidang DUN Sabah malam ini turut meluluskan dua RUU iaitu Enakmen Majlis Ugama Islam Negeri Sabah (pindaan) 2019 dan Enakmen Mahkamah Syariah (pindaan) 2019, dengan kedua-duanya berkuatkuasa pada 20 Mei ini.

Terdahulu dalam penggulungannya, Mohd Shafie berkata, kajian Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dijangka siap dalam tempoh enam bulan iaitu pada Jun ini.

“Mesyuarat Penyediaan Laporan Interim MA63 akan diadakan di Sabah dalam masa terdekat iaitu pada 22 hingga 24 April ini dan Laporan Penuh MA63 akan disiapkan pada bulan yang sama (Jun),” katanya. – Berita Harian

85