Roc, pesawat terbesar di dunia

PESAWAT terbesar di dunia, Roc memulakan penerbangan percubaan di Mojave, California, Amerika Syarikat.

LOS ANGELES: Pesawat terbesar di dunia berjaya membuat penerbangan sulung pertama merentasi Gurun Mojave di California semalam.

Pesawat karbon-komposit pertama itu dibina oleh Stratolaunch Systems Corp yang dimulakan oleh mendiang pengasas bersama Microsoft, Paul Allen.

Pesawat putih dipanggil Roc itu mempunyai sayap yang sama panjang dengan ukuran padang bola sepak Amerika dan dikuasakan dengan enam enjin pada fiuslaj berkembar, berlepas kira-kira jam 7 pagi waktu Pasifik (waktu tempatan) dan berada di udara lebih dua jam sebelum mendarat semula di Mojave Air and Space Port.

“Penerbangan sulung yang hebat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Stratolaunch, Jean Floyd dalam satu kenyataan yang dimuat naik ke laman web syarikat itu.

Pesawat itu direka untuk mengangkut roket dan kenderaan angkasa lain dengan berat mencecah sehingga 226,796 kilogram pada ketinggian 10,668 meter.

Menurut Stratolaunch, pesawat itu mencapai kelajuan maksimum 304 kilometer sejam (km/j) pada ketinggian 5,181 meter, bertujuan untuk menguji prestasi dan kualiti pengendaliannya.

Allen, yang mengasaskan Microsoft bersama Bill Gates pada 1975, mengumumkan penubuhan Stratolaunch yang dibiayai sendiri pada 2011.

Allen meninggal dunia pada Oktober 2018 akibat limfoma bukan Hodgkins, hanya beberapa bulan selepas perkembangan pesawat itu didedahkan. – Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *