TAWAU, 15 April 2019 – Polis menahan dua lelaki termasuk seorang warga tempatan dan merampas sebanyak 501.76 gram dadah disyaki jenis syabu dianggarkan bernilai RM 25,000 petang kemarin.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Supritendan Nor Azizulkifli Bin Hj. Mansor berkata, bertindak hasil maklumat pengedaran dadah, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tawau dibantu anggota Pasukan Gerakan Marin Tawau telah membuat serbuan dan tangkapan dua orang lelaki yang mencurigakan di kawasan jeti (C.I.Q) lama.
Dalam serbuan kira-kira jam 1.00 petang itu, semasa Polis mahu membuat tangkapan kedua-dua suspek cuba melarikan diri dan bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan antara Polis dan suspek.
“Ketika tangkapan dibuat suspek kedua cuba membuang sebuah kotak bungkusan ke atas lantai jeti manakala suspek pertama cuba melarikan diri namun kedua-dua suspek berjaya diberkas pihak Polis,” katanya.
“Hasil pemeriksaan ke atas kotak berkenaan, Polis menjumpai 2 bungkusan plastik berwarna silver, setelah dibuka salah satu bungkusan tersebut mendapati di dalamnya terdapat 1 bungkusan yang dibungkus dengan pita pembalut berwarna coklat,
“Setelah pemeriksaan lanjut dilakukan, terdapat bungkusan plastik besar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 501.76 gram bernilai RM 25,000 disyaki cuba diseludup keluar ke Negara jiran,” katanya.
Supritendan Nor Azizulkifli mengulas, suspek ditahan reman selama 7 hari untuk siasatan dan tindakan lanjut dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Hasil ujian saringan air kencing mendapati salah seorang suspek warga tempatan positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
Sementara itu, katanya, dalam satu lagi serbuan berasingan yang dilakukan pada sabtu lalu, Polis turut menahan seorang lelaki warga tempatan menerusi serbuan yang dilakukan oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tawau.
Jelasnya, bertindak di atas maklumat pengedaran dadah, suspek yang berusia 24 tahun itu telah ditahan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Tanjung Batu Tengah, pada jam lebih kurang 12.50 tengahari.
Katanya, hasil pemeriksaan di dalam rumah suspek, Polis menjumpai 1 plastik lutsinar yang tersimpan dibawah katil dalam bilik suspek. Hasil pemeriksaan Polis menemui 78 paket plastik lutsinar berlainan saiz berisi bahan ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat sebanyak 55.1 gram bernilai RM 5,500.
Semakan rekod lampau suspek pernah terlibat dengan dadah dibawah seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, ujian saringan air kencing pula mendapati suspek negatif dadah.
Sumber : Facebook Polis Daerah Tawau