Projek air bernilai RM800 juta di Sabah diteruskan

Menteri Tanah, Air dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Kota Kinabalu, hari ini. – Gambar BorneoToday

KOTA KINABALU: Kerajaan Pusat akan meneruskan projek sedia ada berkaitan air bagi menjamin pembangunan negeri ini.

Menteri Tanah, Air dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar, berkata ia termasuk enam projek bernilai RM800 juta yang ditangguhkan sebelum ini.

“Projek itu akan diteruskan untuk pembangunan Sabah dengan menggunakan peruntukan yang disediakan kerajaan Pusat.

“Ada juga projek baharu loji air dan pembetungan yang akan ditender pada tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, di sini, hari ini.

Dr Xavier berkata, antara projek baharu itu termasuk pembinaan empangan Papar, Lahad Datu, Tawau, Kota Belud dan Padas.

Katanya, pihaknya turut mengkaji beberapa projek lain yang akan dibincang di peringkat kementerian sebelum diserahkan kepada Kementerian Kewangan untuk mendapatkan peruntukan.

“Berdasarkan permintaan kerajaan negeri, ada kawasan sawah padi yang luas di Kota Belud yang perlu kita lihat (keperluannya) berkaitan simpanan air.

“Ia mengambil masa panjang untuk melaksanakan kajian dan memakan kos kira-kira RM50 juta tetapi boleh diluluskan dalam tempoh setahun setengah,” katanya.

Beliau berkata, Kota Belud turut berdepan masalah sungai yang mengalami kerosakan akibat gempa bumi pada tahun 2015 dan usaha membersihkannya diserahkan kepada keputusan kerajaan negeri. – Berita Harian

129