Hasil Cukai Pelancongan Bukan Ke Akaun Kementerian Pelancongan – Christina

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar menjelaskan bahawa cukai pelancongan yang diagihkan Kerajaan Persekutuan bernilai RM12.66 juta tidak diagihkan secara langsung kepada kementerian itu.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata sebaliknya cukai berkenaan yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng telah disalurkan kepada bendahari kerajaan negeri.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew bersalaman dengan rakan sejawat Datuk Jaujan Sambakong sebelum sesi Dewan Undangan Negeri bermula pagi tadi. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Jadi kalau kita mahu membangunkan produk pelancongan baharu di daerah-daerah lain untuk menarik pelancong datang, polisi kita adalah menggalakkan Majlis Tindakan Pelancongan Daerah diaktifkan.

“Ini kerana kementerian tidak memberikan geran atau kewangan kepada daerah secara langsung sebaliknya kita bekerjasama dengan Majlis Tindakan Pelancongan Daerah,” katanya ketika sesi soal jawab Sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Bolkiah Ismail (Warisan-Pitas) mengenai status terkini cukai pelanocngan yang dikutip oleh negeri itu.

Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata setakat ini kementeriannya telah membangunkan sebanyak 18 daerah di negeri ini yang dikenal pasti mempunyai produk pelancongan baharu.

Beliau menambah kerajaan juga berharap daerah lain juga tampil mengemukakan cadangan seumpama itu agar kementerian dapat membantu mempromosikan produk pelancongan mereka.

“Kementerian membantu membangunkan industri pelancongan di daerah lain yang ada potensi secara kerjasama tapi bukan menerusi pemberian geran atau menyalurkan kewangan secara terus kepada Majlis Tindakan Pelancongan Daerah.

“Kita boleh membantu membuat promosi untuk daerah-daerah ini. Ini merupakan langkah dan strategi yang sedang dan telah dilaksanakan kementerian bagi kawasan luar bandar yang mempunyai potensi pelancongan,” katanya. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *