Tahniah Kerana Menahan Saya – Ramlee Marahaban

Datuk Ramlee Marahaban

KOTA KINABALU: Bekas Pembantu Menteri yang ditahan di laut kerana disangka penceroboh bersenjata memuji pihak berkuasa yang melakukan rondaan di perairan antara Sabah dan Filipina.

Walaupun penahanan itu berlaku kerana kesilapan identiti, beliau melahirkan rasa geli hati dengan insiden berkenaan.

Datuk Ramlee Marahaban berkata, sikap waspada yang ditunjukkan oleh pasukan keselamatan negara amat dikagumi.

“Saya terlupa membawa bersama kad pengenalan. Itu adalah kesilapan saya,” kata Ramlee mengakui senapang serta pistol yang dibawa bersama mempunyai permit sah.

Kelmarin, anggota tentera daripada Angkatan Tugas Bersama 2 memintas bot berkuasa tinggi berhampiran sempadan Filipina selepas radar digunakan mengesan kehadiran kapal yang bergerak laju itu.

Pihak berkuasa menemukan lima individu berkenaan di dalam bot tanpa dokumen pengenalan diri dan lengkap bersama senapang, pistol dan peluru.

Pihak tentera kemudian menyerahkan kesemua suspek kepada polis Semporna sebelum dibebaskan selepas identiti mereka disahkan.

“Saya tidak menyalahkan pasukan keselamatan kerana mereka menjalankan tugas.

“Saya gembira radar kita berfungsi. Sebelum ini mereka kata radar tidak berfungsi,” katanya yang turut menyatakan penahanan itu berlaku di kawasan yang dikawal ketat.

Ramlee berkata, sebelum pergi ke Pulau Mataking, beliau telah memaklumkan pihak berkuasa Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) tentang rancangannya melalui aplikasi WhatsApp untuk mendapatkan kebenaran.

“Saya rasa anggota tentera tidak sedar kehadiran saya,” katanya sambil menambah beliau selalu pergi ke pulau itu kerana mempunyai resort serta tanah di sana.

Pulau Mataking terdiri daripda dua kepulauan iaitu Mataking Besar serta Mataking Kecil.

Selepas insiden berkenaan, Ramlee berkata dia tidak akan sesekali berani pergi ke sempadan berhampiran Filipina lagi selepas ini.

“Saya sudah bersara. Saya selalu pergi ke sana memancing,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Semporna, Supritendan Peter Umbuas berkata, kenyataan Ramlee dan semua yang terlibat telah direkodkan sebelum mereka dibebaskan kerana mempunyai lesen sah membawa senjata api berkenaan. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *