Dua Lelaki Pala’uh Ditahan Jalan Aktiviti Bom Ikan

Kedua-dua suspek ditahan dan disiasat dibawah Seksyen 7(b) Akta Bahan Letupan 1957. Gambar Pasukan Polis Marin W4 Sabah

SEMPORNA: Dua lelaki pala’uh ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) dipercayai terbabit dalam aktiviti mengebom ikan, di Perairan Kampung Halo, di sini semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, hasil daripada maklumat yang disalurkan Unit Risikan Marin(URM), anggota bot ronda PPM digerakkan dan berjaya memintas perahu dinaiki suspek kira-kira pukul 5 petang.

Semua barangan termasuk perahu yang digunakan suspek dibawa ke Pangkalan Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan lanjut. Gambar Pasukan Polis Marin W4 Sabah

“Pemeriksaan mendapati dua lelaki pala’uh berusia 40 dan 26 tahun berada dalam perahu terbabit.

“Kita turut menemui dua peledak dan satu kotak mancis yang disimpan di dalam satu plastik hitam serta satu botol kaca berisi baja ammonia.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek menggunakan bahan itu untuk menjalankan aktiviti mengebom ikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata semua barangan termasuk perahu dianggarkan bernilai RM2,061 dirampas dan dibawa ke Pangkalan Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 7(b) Akta Bahan Letupan 1957,” katanya. – SabahNewsToday

Pasukan Polis Marin (PPM) menemui botol berisi baja ammonia dan alatan lain dipercayai digunakan untuk aktiviti mengebom ikan. Gambar Pasukan Polis Marin W4 Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *