Polis tahan 46 penagih dan pengedar dadah di Kota Kinabalu

ANTARA lokasi yang diserbu polis disyaki sarang penagih dadah dalam operasi yang dilaksanakan di sekitar Kota Kinabalu. – Foto Ihsan Polis

KOTA KINABALU: Polis menahan 46 penagih dan pengedar dadah manakala 210.80 gram syabu dirampas dalam tempoh seminggu operasi dilaksanakan di beberapa lokasi di daerah ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman, berkata operasi yang berakhir semalam itu berjaya menahan individu dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan dadah di daerah ini.

Beliau berkata, tumpuan operasi kali ini membabitkan kawasan Tanjung Aru, Kampung Sembulan, Kampung Labou dan sekitar bandar raya Kota Kinabalu.

“Bagi tempoh satu minggu ini, 46 individu berusia antara 18 hingga 58 tahun ditahan dan daripada jumlah itu, lima ditahan di bawah kategori bekalan dan pengedaran dadah, 13 individu ditahan kerana kesalahan memiliki dadah manakala ujian air kencing 33 lagi suspek didapati positif dadah.

“Semua mereka ditahan mengikut kesalahan masing-masing iaitu Seksyen 39B, 39A(2), 39a(1) dan 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

George berkata, dalam operasi yang sama, Bahagian Siasatan Jenayah Narkorik Daerah (BSJND) Kota Kinabalu juga berjaya membanteras kegiatan pengedaran dadah membabitkan seorang warga Filipina.

“Hasil daripada operasi ini, pihak BBSJND berjaya merampas sebanyak 153 gram dadah jenis syabu daripada lelaki terbabit.

“Jumlah keseluruhan rampasan bagi tempoh itu adalah sebanyak 210.80 gram syabu dengan anggaran nilai RM31,600 mengikut harga pasaran,” katanya.

Sehubungan itu, George berkata usaha untuk membanteras kegiatan pengedaran dan penagihan dadah di daerah ini akan terus dipertingkatkan.

“Orang ramai juga diminta terus memberi maklumat sebarang kegiatan mencurigakan termasuk jenayah dadah yang berlaku di kawasan masing-masing untuk diambil tindakan dengan segera,” katanya. – Berita Harian

100