Keluarga mangsa culik Abu Sayyaf reda kematian Jari

TABAH: Balu Nadin Junianti Najiri, 25 (tengah) menyiram air di kubur suaminya, Allahyarham Jari Abdullah, 34, selepas selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sim-Sim di sini kira-kira 9.30 pagi semalam selepas dimandikan dan disolatkan di Surau Alfurqan Kampung Sim-Sim di Sandakan. – Gambar Bernama

SANDAKAN: Keluarga mangsa culik kumpulan pengganas Abu Sayyaf, Jari Abdullah, 34, reda dengan pemergian arwah yang meninggal dunia akibat terkena tembakan kumpulan pengganas itu di pulau Simusa, Selatan Filipina pada 4 April lepas.

“Kami memang sedih, tetapi apa boleh buat. Itulah ajalnya. Kami menerima dengan reda (pemergiannya),” kata ibu mangsa Zuana Laudiato, 54, ketika ditemui pemberita selepas jenazah tiba di sini semalam.

Zuana, yang diiringi wakil Kementerian Luar ke Filipina sejak 5 April lepas, memberitahu setibanya di pusat perubatan swasta di Zamboanga, Filipina di mana anaknya sedang bertarung nyawa dengan alat bantuan pernafasan, beliau membuat keputusan agar anaknya tidak lagi bergantung dengan alat bantuan itu.

“Arwah sudah tidak ada lagi. Hanya bergantung dengan oksigen. Memang kedatangan saya ke pusat perubatan untuk kebenaran buka alat bantuan pernafasan,” katanya.

Zuana berkata keluarganya akan menjaga balu arwah Nadin Junianti Najiri, 25, yang merupakan rakyat Indonesia, termasuk menyekolahkan tiga anak arwah masing-masing berumur 1, 5, dan 7 tahun.

“Saya puas hati kerana saya dapat melihat jasad suami saya untuk kali terakhir,” kata Nadin Junianti.

Allahyarham Jari dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sim-Sim di sini kira-kira 9.30 pagi semalam selepas dimandikan dan disolatkan di Surau Alfurqan Kampung Sim-Sim di sini.

Turut hadir Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah Ariffin Asgali.

Ariffin berkata kerajaan akan melihat keperluan keluarga mangsa dan akan menghulurkan bantuan bagi meringankan beban keluarga mangsa.

Jenazah tiba di Lapangan Terbang Sandakan kira-kira jam 7.50 pagi semalam dengan pesawat Malaysia Airlines.

Mangsa, seorang nelayan, diculik bersama dua lagi nelayan – Heri Ardiansyah, 19, dan Hariadin, 45, yang kedua-duanya rakyat Indonesia, di perairan Pegasus Reef, Kinabatangan pada 6 Dis lepas.

Pada 4 April lepas, Allahyarham Jari terkena tembakan anggota Abu Sayyaf semasa cuba melarikan diri selepas pertempuran antara kumpulan penjenayah rentas sempadan itu dengan tentera Filipina di Pulau Simusa, Sulu.

Pada keesokan harinya (5 April), dalam pertempuran antara tentera dan penculik Abu Sayyaf di laut, Hariadin dilaporkan meninggal dunia manakala Heri berjaya diselamatkan. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *