Gali kubur jumpa bom

Bom lama ditemui di Tanah Perkuburan Kampung Lobong, Pulau Gaya. FOTO ihsan PDRM.

PENGGALI kubur terkejut apabila menemui sebutir bom lama ketika menggali kubur di Tanah Perkuburan Kampung Lobong, Pulau Gaya, Kota Kinabalu, semalam.

Dalam kejadian 5 petang, lelaki berusia 56 tahun menemui bom itu di kawasan semak tanah perkuburan berkenaan sebelum melaporkan kepada polis.

Bom peninggalan zaman perang dunia kedua itu sudah berkarat dan dipercayai masih belum digunakan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abd Rakman berkata, selepas menyedari besi ditemui itu adalah bom lama, dia terus menghubungi polis.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan terhadap penemuan itu.

“Hasil siasatan mendapati, objek itu dikenal pasti sejenis bom lama berukuran 33 sentimeter panjang dengan ukur lilit 30 sentimeter.

“Langkah keselamatan diambil sebelum bom lama itu dilupuskan Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, polis mengarahkan laluan ke lokasi berkenan ditutup dan meletakkan garisan kuning sebagai amaran kawasan larangan.George memaklumkan bom itu dilupuskan 11.30 pagi, hari ini. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *