Cadangan GPS perkara remeh – Vui Keong

Vui Keong pada sidang media berkenaan Artikel 1(2) Perlembagaan Persekutuan dan MA63 di Putrajaya. – NSTP/Mohd Fadli Hamzah

PUTRAJAYA: Cadangan 19 Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memasukkan perkataan ‘Berdasarkan Semangat Perjanjian Malaysia 1963’ dalam pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan, disifatkan sebagai perkara remeh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata cadangan itu dikemukakan 19 Ahli Parlimen terbabit menerusi satu surat kepada Yang di-Pertua Dewan Negara, Isnin lalu.

“Kerajaan sudah meminta pandangan Peguam Negara, Tommy Thomas, berhubung cadangan itu dan beliau memaklumkan bahawa ia tidak boleh dilakukan mengikut Perlembagaan.

“Ia hanya mendatangkan kerumitan kerana jika dimasukkan perkataan ‘Berdasarkan Semangat Perjanjian Malaysia 1963’, ia juga harus disebut bahawa Singapura ialah sebahagian perjanjian 1963 itu, sedangkan faktanya Singapura keluar dari Malaysia pada 1965.

“Mereka tidak mengundi semata-mata kerana perkara ini, sekali gus menyebabkan usaha meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan status asal Sabah dan Sarawak gagal,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Selasa lalu, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2019 tidak mendapat majoriti dua per tiga untuk diluluskan Dewan Rakyat apabila pengundian dibuat secara belah bahagi.

Pengundian dibuat selepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menggulung perbahasan mengenai pindaan itu mulai jam 9.30 malam.

Keputusan undian yang dijalankan mendapati 138 daripada 221 wakil rakyat mengundi bersetuju RUU itu diluluskan, manakala 59 wakil rakyat tidak mengundi.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, dipetik sebagai berkata justeru usul itu tidak boleh diteruskan untuk bacaan kali ketiga,

Mengulas lanjut, Vui Keong berkata, tambahan perkataan berkenaan bagi pindaan itu adalah tidak perlu dalam Artikel 1(2) kerana ia sudah terkandung dalam maksud Huraian Perlembagaan.

“Huraian itu ialah Fasal 2 RUU ini bertujuan menggantikan Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan untuk menyatakan semua negeri yang membentuk Persekutuan dengan mengembalikan, dengan ubahsuaian, kedudukan Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan ketika pembentukan Malaysia pada 1963.

“Pindaan ini dibuat selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia yang dimeterai pada 1963. Pindaan ini memenuhi aspirasi dan harapan Kerajaan Sabah dan Sarawak serta semua rakyat Sabah dan Sarawak,” katanya

Sementara itu, Vui Keong berkata, terpulang kepada Ketua Whip parti masing-masing untuk mengambil tindakan terhadap empat Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang tidak hadir ketika pengundian RUU berkenaan.

“Perdana Menteri sudah mengeluarkan arahan pada Mac lalu untuk mewajibkan semua Ahli Parlimen PH menghadiri sesi Parlimen pada Selalu lalu.

“Namun, ada dalam kalangan mereka sudah memberi alasan, termasuk perlu menghadiri mesyuarat di luar negara,” katanya.

Empat Ahli Parlimen itu ialah Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam); Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (Hang Tuah Jaya); Noor Amin Ahmad (Kangar) dan Muslimin Yahya (Sungai Besar). – Berita Harian

115