Kertas undi sudah ditanda ditemui di Kajang

Kertas undi Pilihan Raya Umum untuk pemilihan Presiden Indonesia dalam karung dan plastik hitam ditemui dalam sebuah rumah kedai. – Ihsan pembaca

KAJANG: Dua laporan polis dibuat selepas ratusan karung beg mengandungi kertas undi Pilihan Raya Umum pemilihan presiden Indonesia, ditemui di dua tempat sekitar Kajang.

Laporan pertama dibuat oleh seorang lelaki warga Indonesia dari Badan Pemenangan untuk calon nombor (02) Probowo-Sandi, yang menyatakan pihaknya menemui kertas undi dalam 157 karung dan plastik hitam dalam sebuah rumah kedai.

Sumber berkata, sebelum itu lelaki terbabit dan rakannya menerima maklumat berhubung kertas undi yang sudah ditanda disimpan dalam sebuah kedai di Kajang Utama, Kajang.

“Hasil pemeriksaan, mereka menemui kertas undi yang sudah dicucuk dahulu (ditanda) tanpa pengetahuan pengundi sebenar, namun jumlah kertas undi yang ditemui masih belum dapat dikenal pasti.

“Laporan kedua dibuat oleh seorang pengadu juga warga Indonesia yang bertugas sebagai Panitia Pengawas Pilihan Raya Umum Luar Negeri Kuala Lumpur, bagi Pilihan Raya Indonesia di kawasan sate Kajang,” katanya hari ini.

Hasil pemeriksaan sebanyak 20 karung beg diplomatik, 10 karung beg hitam dan lima karung beg putih tulisan Pos Malaysia yang mengandungi kertas undi pos Pilihan Raya Umum Indonesia ditemui.

Difahamkan dua laporan berkenaan dibuat untuk dijadikan bukti berlakunya penyalahgunaan dalam kertas undi untuk pemilihan calon presiden dan wakil presiden.

Pada 17 April ini Pilihan Raya Umum bagi menentukan calon presiden dan naib presiden akan diadakan di Indonesia dengan calon nombor (01) ialah Presiden Indonesia sekarang, iaitu Joko Widodo (Jokowi) dan akan digandingkan dengan Maaruf Amin.

Mereka akan menentang dengan calon (02) yang diwakili oleh Prabowo Subianto, sebagai calon presiden, dan digandingkan dengan Sandiaga Uno sebagai calon naib presiden.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *