Diugut sebar gambar separuh bogel

Gambar Hiasan

IMPIAN seorang gadis ingin menjadi model bertukar menjadi mimpi ngeri apabila diugut gambar separuh bogel miliknya akan disebarkan oleh individu yang dikenalinya melalui akaun Instagram.

Difahamkan, gadis berusia 15 tahun itu mengenali individu yang mengaku sebagai pengurus model melalui Instagram pertengahan bulan lalu dan menawarkan pekerjaan kepadanya.

Mangsa yang terpedaya dengan tawaran kerja itu menghantar gambar separuh bogel sebelum menyedari dia ditipu selepas diminta membuat bayaran sebanyak RM500 bagi mengelak gambarnya disebar kepada orang lain.

Susulan itu, gadis berkenaan melaporkan kejadian kepada polis untuk tindakan lanjut pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, siasatan mendapati ketika mangsa berada di rumahnya di Beaufort, seorang pemilik akaun Instagram bernama fordhaneem memperkenalkan diri sebagai pengurus model yang sedang mencari model.

“Suspek meminta mangsa mengisi borang yang diberikan melalui mesej di Instagram dan meminta mangsa memberikan gambar bogel untuk dijadikan panduan saiz baju.

“Pada hari sama, mangsa yang terpedaya menghantar beberapa gambar berpakaian serta separuh bogel kepada suspek.

“Selepas itu, mangsa diminta untuk menghantar gambar tanpa pakaian dari pusat sehingga kaki menyebabkan mangsa mengesyaki suspek penipu dan tidak lagi melayan mesej suspek,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azmir berkata, siasatan lanjut mendapati akhir Mac lalu, mangsa kemudian menerima mesej daripada aplikasi WhatsApp daripada seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai Harith.

“Suspek menyatakan menerima gambar separuh bogel mangsa daripada fordhaneem dan menyatakan jika tidak mahu gambar itu tersebar, suspek boleh membantunya tetapi mangsa perlu membuat bayaran sebanyak RM500.

“Suspek juga mengugut mangsa sekiranya gagal membuat bayaran, gambar itu akan tersebar.

“Namun mangsa tidak membuat sebarang bayaran dan mengesyaki dua individu itu adalah orang yang sama,” katanya.

Katanya, mangsa tiada maklumat berhubung pemilik akaun Instagram itu bagaimanapun polis berjaya menjejaki suspek yang berusia 17 tahun sebelum ditahan di Kamunting, Perak.

“Lelaki dalam kes ini berjaya dikenal pasti dan direman selama enam hari untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *