60 Orang Ditangkap Dibawah Akta Dadah Berbahaya Sejak 30 Mac

Antara individu yang ditahan sepanjang tempoh seminggu bermula 30 Mac lalu. Gambar Ihsan Polis

KOTA KINABALU: Polis Kota Kinabalu berjaya merampas seberat 13.47 gram dadah jenis syabu dan satu gram ketamin yang dianggarkan bernilai RM2,170 mengikut harga dadah semasa, sepanjang tempoh seminggu operasi, bermula 30 Mac lalu.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata kejayaan operasi yang dijalankan sekitar Kampung (Kg) Labou Manggatal, Kg Bakau Likas dan sekitar bandaraya Kota Kinabalu itu turut menangkap seramai 60 orang yang melakukan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya kesemua tahanan yang dibuat itu melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Sekeyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Habibi berkata kesemua tahanan tersebut adalah berumur antara 15 hingga 58 tahun.

Tambahnya daripada 60 tangkapan yang dibuat, pihak polis berjaya membanteras sekumpulan 14 individu remaja yang sedang asyik berpesta liar di dalam sebuah bilik hotel kawasan bandaraya Kota Kinabalu.

Hasil serbuah mendapat seramai 12 orang daripadanya positif ujian saringan awal polis beserta rampasan dadah jenis ketamin ditemui.

Selain itu, seramai 25 orang turut ditangkap atas kesalahan memiliki dadah dan 35 orang bagi kesalahan urin.

Dalam tempoh itu juga, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Kota Kinabalu telah menahan seramai 35 orang tempatan dan 25 orang warga asing.

Sementara itu, menurutnya usaha untuk membanteras pengedaran dan penagihan sekitar Kota Kinabalu akan diperhebatkan dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa demi kesejahteraan dan ketenteraman kawasan Kota Kinabalu khususnya.

“Orang ramai amat dialu-alukan untuk menyumbang dan menyalurkan maklumat berkenaan aktiviti jenayah narkotik di daerah ini untuk diambil tindakan pembanterasan jenayah ini,” katanya. –SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *