Lapan Lelaki Ditahan Dalam Ops Sarang

Antara suspek ditahan oleh pihak polis di dalam sebuah kediaman. Gambar SNT/Ihsan Polis

KOTA KINABALU: Lapan lelaki berjaya diberkas oleh sepasukan polis daerah Kota Kinabalu dalam Ops Sarang semalam.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata tangkapan tersebut adalah hasil pemeriksaan 12 individu di sekitar kawasan Kampung Labou Manggatal.

“Kesemua tangkapan dibuat berdasarkan kesalahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (seorang lelaki), Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 (enam tangkapan) dan Seksyen 6(1)(C) AKta Imigresen 1959/63 terhadap seorang lelaki.

“Melalui operasi tersebut polis Kota Kinabalu berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 0.45 gram yang bernilai RM65,” katanya sambil menambah suspek yang ditangkap berumur antara 19 hingga 45 tahun.

Dalam pada itu Habibi berkata Ops Sarang itu dilancarkan hasil risikan dan maklumat orang awam ke atas sarang-sarang penagih bagi memastikan kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah dapat dibendung sepenuhnya.

Katanya Ops Sarang itu juga dijalankan untuk mengenal pasti dan mengambil tindakan ke atas ahli sindiket pengedaran dadah yang wujud di kawasan sarang-sarang tersebut.

Tambahnya orang ramai dialu-alukan untuk membantu pihak polis untuk menyalurkan maklumat berkenaan jenayah narkotik agar kegiatan jenayah terbabit dapat dibanteras dengan berkesan. – SabahNewsToday

177