Kemasukan BERSATU Kukuhkan Hubungan Kerajaan Pusat Dan Negeri – Hajiji

KOTA KINABALU: Kemasukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ke Sabah dilihat akan membantu Kerajaan Persekutuan memainkan peranan lebih efektif dalam membantu Kerajaan Negeri menjaga keselamatan dan kestabilan dan kesejahteraan rakyat di Sabah.

Penyelaras BERSATU Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, beliau mengakui parti-parti tempatan berjuang demi kepentingan rakyat namun, ia boleh diperkukuhkan dengan adanya penglibatan dari parti peringkat Pusat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sulaman ini berkata, Sabah berdepan dengan masalah Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan masih dihantui tuntutan negara jiran (Filipina) selepas pencerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu.

”Walaupun kita tidak mengiktiraf tuntutan itu namun, ia masih berlegar-legar dalam fikiran rakyat. Bagi kami, kehadiran parti Kerajaan Persekutuan khasnya BERSATU ini akan membantu secara langsung untuk mengatasi masalah sebegini.

”Penyertaan kami dalam BERSATU juga kerana kami percaya dengan perjuangan yang dibawa oleh parti ini (BERSATU)…kami percaya perlunya BERSATU sebagai parti nasional yang berwibawa bertapak di Sabah.

”Jika dilihat senario politik Sabah sebelum ini, ia jelas membuktikan parti nasional diterima, disokong dan diberi mandat oleh rakyat sehingga boleh memerintah negeri ini selama 25 tahun berbanding parti-parti tempatan yang diberi peluang memerintah. Mereka hanya (memerintah) dalam jangka masa singkat yang tidak melebihi 10 tahun,” katanya ketika berucap sempena Majlis Pelancaran BERSATU di Sabah, di sini pada Sabtu.

Menurutnya, penyertaannya bersama bekas Adun dan Ahli Parlimen Umno lain dalam BERSATU kerana yakin dengan kepimpinan Tun Matahir Mohamad selaku Pengerusi BERSATU.

”Saya juga berharap parti BERSATU dapat memainkan peranan supaya hubungan sedia terjalin antara Sabah dan Putrajaya dapat dirapatkan selain mampu menjayakan intergrasi nasional untuk merapatkan hubungan rakyat Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia,” jelasnya.

Dalam majlis itu, tujuh Adun yang juga bekas wakil rakyat Barisan Nasional (BN) memperoleh kad keahlian BERSATU. Mereka adalah Datuk Japlin Akim (Usukan), Datuk Ghulam Haidar Khan (Kawang), Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (Membakut), Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Datuk Matbali Musah (Lumadan), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Apas) dan Datuk Bobby Suan (Nabawan).

Dengan kemasukan BERSATU itu, penyertaan ahli BERSATU di Sabah mencecah lebih 120,000 orang.

Majlis pelancaran itu dihadiri kira-kira 30,000 orang yang datang dari seluruh Sabah.

Pada 15 Mac, enam bekas wakil rakyat Umno serta dua senator menyertai dan menerima kad keahlian BERSATU daripada Tun Mahathir di Kuala Lumpur.

Empat daripadanya adalah Ahli Parlimen (MP) iaitu Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat), Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Datuk Zakaria Edris (Libaran) dan Datuk Ronald Kiandee (Beluran).

Manakala, dua lagi adalah Adun iaitu Datuk Seri Hajiji Noor (Sulaman) dan Datuk Seri Masidi Manjun (Karanaan). Manakala, dua senator yang turut menerima kad keahlian BERSATU dalam majlis itu ialah Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin dan Datuk John Ambrose. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *