Tahan 10 hari sebab percaya ibu mentua

RAKAMAN CCTV menunjukkan Xia membuang tiga duit syiling di hadapan pintu masuk pesawat.

BEIJING: Gara-gara percaya benda karut, seorang lelaki ditahan selama 10 hari kerana membaling duit syiling di hadapan pintu kapal terbang untuk tuah dalam kejadian di Wuhan, baru-baru ini.

Tindakan lelaki dikenali sebagai Xia membaling tiga duit syiling sebelum masuk kapal terbang menyebabkan penerbangan Hainan Airline dari Wuhan ke Urumqi tergendala selama 30 minit, Selasa lalu.

Akhbar Yangtze River Daily melaporkan, ketika disoal siasat, Xia memberitahu polis ibu mentuanya mencadangkan dia membuang duit syiling ke tanah agar perjalanan lancar.

Ini kerana, penerbangan itu adalah yang pertama bagi anak perempuan Xia yang berusia empat bulan.

Bapa berusia 31 tahun itu berkata, membuang duit syiling di balai pelepasan lapangan terbang tidak berkesan dan melakukan perbuatan terbabit ketika berada di jambatan udara.

Menurut South China Morning Post, kakitangan lapangan terbang menemui tiga duit syiling satu yuan di atas landasan dan Xia ditahan polis selama 10 hari untuk membantu dalam siasatan.

Isteri dan anaknya terpaksa meneruskan penerbangan mereka tanpa Xia. – Agensi

71