Polis Ranau buru 3 suspek rompak bersenjata

RANAU: Polis di sini memburu beberapa individu selepas seorang lelaki tempatan dirompak sebelum ditikam di lengan kanannya oleh tiga suspek tidak dikenali pada malam Isnin.

Ketua Polis Ranau, DSP Mohd Shahrul Datuk Hj Abdul Wahab (gambar) berkata insiden itu, yang berlaku kira-kira 7.30 malam di sebuah rumah penginapan kira-kira 1 kilometer dari pekan Kundasang, sedang disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

“Mangsa, seorang lelaki tempatan berumur 31 tahun merupakan penjaga rumah tersebut di mana dia tinggal. Semasa insiden, dia didatangi oleh ketiga-tiga suspek yang singgah dan berpura-pura bertanyakan bilik kosong.

“Tiba-tiba seorang daripada mereka merangkulnya dari belakang, manakala seorang lagi menarik beg sandangnya. Mangsa melawan dan berteriak, tetapi ia menyebabkan seorang lagi suspek menikam di lengan kanannya dengan pisau. 

“Akibatnya, suspek merampas barang mangsa sebelum melarikan diri. Susulan insiden ini, mangsa kehilangan beg sandang, kad ATM, MyKAd dan wang tunai bernilai RM1,700.

Ketika itu keadaan agak gelap dan tiada saksi lain,” kata beliau.Mohd Shahrul berkata, mangsa menghubungi keluarganya tidak lama kemudian, dan mereka mengejarkannya ke Klinik Kesihatan Kundasang di mana dia menerima tujuh jahitan. 

Beliau menggesa sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat tentang insiden itu supaya menghubungi Insp Mohd Hafiez bin Ramlan di IPD Ranau bagi membantu siasatan.

Sementara itu, beliau juga menggesa orang awam supaya berhati-hati apabila didatangi orang asing, khususnya di tempat sunyi dan gelap. – Harian Ekspres

170