Warga BHP, perunding dan kontraktor tandatangan ikrar bebas rasuah

BEBAS RASUAH: Sebahagian daripada petugas Borneo Highway PDP Sdn Bhd (BHP) melafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) pada majlis melafaz dan menandatangani IBR semalam. — Gambar Bernama

KOTA KINABALU: Seramai 290 warga Borneo Highway PDP Sdn Bhd (BHP) termasuk 40 perunding serta kontraktor semalam melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai komitmen menerapkan nilai integriti dalam menjalankan amanah selaku rakan pelaksana projek (PDP) Lebuhraya Pan Borneo Sabah sekali gus menyokong usaha kerajaan membanteras rasuah dan salah guna kuasa.

Majlis menandatangani dan melafaz IBR itu diketuai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif BHP Muhammad Fadzil Abdul Hamid dan disaksikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Ja’afar Mahad, di sini.

Muhammad Fadzil dalam ucapannya berkata sebagai PDP, BHP memikul amanah daripada kerajaan selaku pemilik projek untuk melaksanakan pembinaan prasarana Lebuhraya Pan Borneo Sabah dengan tadbir urus berintegriti tinggi.

Beliau berkata Lebuhraya Pan Borneo adalah projek berskala besar yang memerlukan prosedur telus dan kawal selia ketat bagi memastikan tidak ada penyelewengan berlaku sepanjang proses pembangunan infrastruktur berkenaan dijalankan.

“Sejak mula beroperasi, BHP menggunapakai prosedur operasi standard selain tertakluk kepada kawal selia ketat oleh pemilik projek (kerajaan). Kami sedar bahawa hanya dengan memiliki integriti tinggi dan mematuhi prosedur operasi ketat, kami dapat menjamin kualiti prasarana yang sedang dibina,” katanya.

Muhammad Fadzil berkata komitmen BHP memupuk integriti dalam kalangan kakitangannya diperkuatkan lagi dengan elemen profesionalisme yang juga nilai teras Program Transformasi Industri Pembinaan selain menandatangani Akujanji Perkhidmatan.

Sementara itu, Ja’afar dalam ucapannya berharap inisiatif diambil BHP bagi melafaz dan menandatangani IBR akan menjadi ikutan agensi kerajaan dan organisasi swasta lain bagi mewujudkan rangkaian kerjasama dengan SPRM dalam usaha berterusan memerangi rasuah dan salah guna kuasa. — Bernama

167