LGBT, penzina berdepan rejam hingga mati

SULTAN Hassanal Bolkiah akhirnya menguatkuasakan sepenuhnya undang-undang syariah selepas tertangguh beberapa lama. FOTO/AGENSI

BANDAR SERI BEGAWAN: Kerajaan Brunei memperkenalkan undang-undang syariah yang lebih tegas, termasuk hukuman rejam sehingga mati ke atas pesalah zina dan hubungan seks sejenis meskipun berdepan dengan kecaman di peringkat global.

Hukum hudud di kepulauan Borneo yang diperintah Sultan Hassanal Bolkiah itu akhirnya dikuatkuasakan sepenuhnya selepas tertangguh beberapa lama.

Undang-undang yang turut mencakupi hukuman potong tangan atau kaki untuk kesalahan mencuri, menjadikan Brunei negara pertama di Asia Tenggara dan Asia Timur melaksanakan kanun keseksaan berasaskan prinsip syariah, menyamai negara Timur Tengah seperti Arab Saudi.

Kesalahan rogol dan rompak juga boleh dihukum mati menurut undang-undang berkenaan, termasuklah kesalahan menghina Rasulullah yang turut mencakupi golongan bukan Islam.

Keputusan untuk meneruskan hukuman itu mendapat perhatian dari seluruh dunia malah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melabelkan negara itu sebagai ‘kejam dan tidak berperikemanusiaan’ manakala artis seperti George Clooney dan Elton John mendesak semua pihak memulaukan hotel pemilik Brunei.

Dalam satu ucapan pada majlis memperingati Israk Mikraj, sultan menyeru pemerkasaan ajaran Islam namun tidak menyebut perkara berkaitan hukum hudud.

“Beta mahu melihat ajaran Islam di negara ini menjadi lebih kuat,” katanya menerusi siaran langsung di televisyen dari pusat konvesyen berhampiran ibu negara.

Sumber kerajaan kemudiannya mengesahkan undang-undang hudud berkenaan sudah dikuatkuasakan. – AFP

148