Kementerian rampas perangsang seks Candy B+ Complex

Candy B+ Complex.

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan merampas pelbagai produk kesihatan berbahaya mengandungi racun berjadual tadalafil dianggarkan bernilai RM1.129 juta.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata serbuan Selasa mingu lalu itu dibuat selepas Bahagian Penguatkuasaan Farmasi menerima aduan daripada orang awam berkenaan penjualan produk tidak berdaftar, secara dalam talian melalui laman sesawang http://www.11street.my.

Dr Noor Hisham berkata, barang yang diiklankan di dalam laman sesawang itu membabitkan produk perangsang seks, iaitu Candy B+ Complex.

Katanya, Candy B+ Complex produk yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah memandangkan hasil analisis menunjukkan produk itu mengandungi racun berjadual iaitu Tadalafil.

“Hasil maklumat dan laporan orang awam, kementerian menjalankan serbuan pada 26 Mac 2019 dan hasil rampasan dianggarkan bernilai RM1.129 juta. Hasil rampasan turut meliputi beberapa jenis makanan dan minuman yang disyaki dicemari racun berjadual, kosmetik yang tidak bernotifikasi dan beberapa buah peranti digital.

“Kesemua produk yang telah dirampas akan disiasat di bawah Akta Jualan Dadah 1952, jika sabit kesalahan akan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama bagi individu dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan berikutnya.

“Bagi syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kementerian memberi amaran tegas kepada sesiapa yang mempunyai stok produk ini agar menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaannya dengan serta merta kerana penggunaan produk ini boleh membawa kepada kemudaratan terhadap kesihatan tubuh badan.

“Tadalafil ubat terkawal yang digunakan untuk merawat pesakit yang mengalami masalah gangguan seksual seperti mati pucuk atau nama lainnya impotens/Erectile Dysfunction (ED).

“Penggunaan ubat ini memerlukan pengawasan yang teliti daripada pengamal perubatan yang berdaftar dan tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya oleh orang awam.

“Kementerian Kesihatan juga ingin menasihati orang ramai supaya berwaspada sebelum membeli sebarang produk kesihatan dan kosmetik yang dijual secara dalam talian serta memastikan produk kesihatan dan kosmetik yang dibeli di pasaran berdaftar atau bernotifikasi,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai boleh menyemak kesahihan nombor pendaftaran produk atau notifikasi kosmetik dengan melayari www.npra.moh.gov.my atau dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400.

Selain itu, katanya, orang ramai juga boleh memuat turun aplikasi NPRA Product Status daripada Google Play Store bagi menyemak status pendaftaran produk.

“Orang ramai boleh melaporkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my atau melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam di alamat http://moh.spab.gov.my. ATAU mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan atau melalui talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk ini di pasaran,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *