Rakyat Sabah Perlu Bangga Pamer Keunikan Warisan Budaya Etnik – Shafie Apdal

TENOM, 31 Mac – Rakyat Sabah daripada pelbagai suku kaum perlu sentiasa merasa bangga mempamerkan keunikan serta keindahan seni budaya masing-masing supaya lebih dikenali bukan sahaja oleh generasi muda tetapi juga bangsa lain, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata setiap etnik di negeri itu juga seharusnya tidak merasa segan mempersembahkan kebudayaan termasuk memakai pakaian tradisi bagi terus memelihara keindahan warisan budaya nenek moyang mereka supaya tidak luput ditelan zaman.

“Keunikan Sabah bukan hanya daripada kekayaan sumber alam semula jadinya tetapi juga warisan budaya setiap kaum yang perlu terus dijaga dan dipelihara dengan baik untuk generasi muda.

“Saya juga berharap penglibatan lebih ramai anak muda daripada setiap suku kaum dalam penganjuran festival kebudayaan supaya golongan itu lebih mengenali dan menyanyangi warisan budaya mereka,” katanya berucap merasmikan Pesta Kalimaran Kali Ke-16 di Pusat Kebudayaan Murut, di sini, hari ini.

Turut hadir dua Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong dan Datuk Wilfred Madius Tangau serta Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony.

Kira-kira 15,000 penduduk pelbagai kaum hadir menyambut pesta Kalimaran tersebut yang turut dimeriahkan lagi dengan perarakan kebudayaan 10 sub-etnik Murut.

Pesta itu diadakan selama enam hari mulai 26 Mac lepas.

Mohd Shafie berkata, kepelbagaian adat dan tradisi etnik di Sabah juga perlu dijadikan platform untuk lebih mengenali antara satu sama lain sekali gus memperkukuh lagi perpaduan dan persefahaman yang sedia terjalin.

Langkah itu berupaya meletakkan Sabah sebagai sebuah negeri aman dan makmur di mata dunia meskipun rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, katanya.

Mohd Shafie berkata keunikan kepelbagaian warisan budaya itu juga perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi menarik lebih ramai kehadiran pelancong sekali gus meningkatkan lagi sumber ekonomi penduduk.

Sementara itu, Peter, selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Kalimaran, ketika ditemui pemberita, berkata beliau mahu pesta berkenaan dimasukkan dalam kalendar pelancongan Sabah mulai tahun depan bagi menarik kehadiran pengunjung pada skala lebih besar.

— BERNAMA

Mohd Shafie dan isteri diiringi Datuk Peter Anthony di perasmian Pesta Kalimaran 2019 di Tenom hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *