Peter Mahu Pesta Kalimaran Masuk Dalam Kalendar Pelancongan Sabah

TENOM: Hasrat melaksana pembangunan seimbang di Sabah dilihat akan mampu direalisasikan dengan keprihatinan Kerajaan Negeri membantu memperkasa seni dan kebudayaan suku kaum yang terdapat di negeri ini.

Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony berkata, langkah kerajaan mengiktiraf Pesta Kalimaran sebagai perayaan peringkat negeri bukan hanya akan membantu memperkasakan budaya suku kaum Murut tetapi, ia akan merealisasikan hasrat Ketua Menteri dalam melaksanakan pembangunan seimbang di Sabah.

Peter berkata, pembangunan yang ada perlu diperkukuhkan dengan mengambil kira komponen kesenian dan kebudayaan agar seni warisan ini terus kekal membangun selaras dengan pembangunan fizikal yang dilaksanakan di Sabah.

“Tanpa warisan, seni dan budaya, pembangunan yang dilaksanakan akan terencat dan pegun.

“Oleh itu, adalah menjadi dasar Kerajaan Negeri untuk terus memelihara dan memajukan kebudayaan dan kesenian semua etnik yang ada di Sabah,” katanya semasa Majlis Perasmian Penutupan Pesta Kalimaran peringkat negeri Sabah, di sini pada Ahad.

Majlis Perasmian Penutupan itu disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal.

Peter berkata, kehadiran masyarakat pelbagai kaum dalam pesta yang disambut secara sederhana itu memperlihatkan masyarakat menghargai kepelbagaian dan kemajmukan yang ada di Sabah.

Katanya, kehadiran orang ramai ini menunjukkan rakyat mendukung usaha baik kerajaan dalam memulihara warisan dan tradisi suku kaum yang terdapat di negeri ini.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melalap ini berharap agar Pesta Kalimaran dapat dimasukkan dalam Kalender Pelancongan Sabah bermula tahun hadapan. Ia bagi membolehkan daerah ini dapat menarik kehadiran lebih ramai pengunjung termasuk pelancong luar negara dalam skala yang lebih besar.

Beliau percaya inisiatif sebegitu akan membolehkan usaha menjadikan kawasan pedalaman Sabah sebagai ‘hab keunikan budaya dan warisan seni masyarakat pribumi Sabah’.

Pesta Kalimaran diadakan bermula 26-31 Mac di Pusat Kebudayaan Murut, Tenom.

Turut hadir dalam majlis itu adalah isteri Ketua Menteri Datin Seri Shuryani Shuaib, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick, Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr Yusof Yacob, Adun Kemabong Jamawi Jaafar dan Adun Liawan Rasinin Koutis. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *