30 Ditahan Dalam Operasi Narkotik BSJND Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Tiga wanita antara 30 individu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Kota Kinabalu dalam beberapa operasi di sekitar kawasan bandaraya sepanjang minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata kesemua suspek yang ditangkap berusia dalam lingkungan 21 hingga 57 tahun.

Antara suspek yang ditahan dalam operasi di sekitar bandaraya sepanjang minggu lalu. Gambar SNT/Ihsan IPD KK

Habibi berkata polis turut merampas sejumlah 12.75 gram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM1,900 dalam operasi yang turut dilakukan di Lok Bonu, Lobou, Kampung Cenderamata.

“Sepanjang tempoh bermula 23 Mac sehingga semalam (29 Mac) Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kota Kinabalu telah menjalankan operasi dan tangkapan mengikut Akta dadah Berbahaya 1952.

Salah seorang lagi suspek yang dicekup dalam operasi sepanjang minggu lalu di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ihsan IPD KK

“Dalam operasi itu seramai 24 daripada 30 individu ditahan adalah warga tempatan manakala enam individu terbabit adalah warga asing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Habibi berkata penahanan dibuat mengikut Akta Dadah Berbahaya melibatkan kesalahan bagi Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya Seksyen 12(2), Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Suspek dibawa untuk tindakan lanjut. Gambar SNT/Ihsan IPD KK

Dalam pada itu Habibi menjelaskan usaha membanteras pengedaran dan penagihan dadah akan diperhebatkan dari masa ke semasa demi kesejahteraan dan ketenteraman awam di sekitar kawasan Kota Kinabalu.

Beliau turut mengalu-alukan orang ramai agar menyalurkan maklumat berkenaan kegiatan jenayah narkotik kepada pihak berkuasa dalam usaha membanteras jenayah terus berleluasa. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *