Wanita diugut dua lelaki menyamar polis

LOKASI mangsa diperas ugut dua lelaki yang menyamar sebagai anggota polis di hadapan sebuah kedai di Jalan Segama, Lahad Datu. – Foto IHSAN POLIS.

LAHAD DATU: Seorang wanita berdepan detik cemas selepas diperas ugut dua lelaki yang menyamar sebagai anggota polis di hadapan sebuah kedai di Jalan Segama, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa berusia 50 tahun kerugian sebanyak RM400 akibat diperas ugut oleh kedua-dua suspek terbabit.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor, berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang mendakwa suspek menggunakan sebuah PROTON Saga lama warna hitam dengan nombor pendaftaran SD4122.

“Ketika kejadian, mangsa dikatakan menuju ke seberang jalan untuk bersarapan. Ketika melintas jalan, tiba-tiba mangsa dihampiri sebuah kereta PROTON Saga.

“Seorang lelaki berbadan gempal kemudian keluar dari kereta dan memaksa mangsa masuk ke dalam kereta. Lelaki itu mengaku sebagai polis lalu membawa mangsa ke kawasan Pondok Polis Darvel,” katanya di sini, hari ini.

Nasri berkata, suspek kemudian mengugut mangsa untuk menyelesaikan masalah dokumen dengan membayar RM200.

“Mangsa kemudian ke bank berdekatan lalu mengeluarkan duit dan membuat pembayaran RM200 kepada suspek.

“Wang sebanyak RM250 milik mangsa yang disimpan di dalam begnya turut diambil sebelum mangsa dilepaskan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang giat memburu kedua-dua suspek terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 384/170 Kanun Keseksaan. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *