Dua PTI Filipina Ditahan Miliki Syabu

LAHAD DATU: Dua lelaki disyaki miliki dadah bernilai RM913 gagal melarikan diri ketika serbuan yang dijalankan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, di sebuah rumah tidak bernombor, Ladang Sungai Mas, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 2 pagi itu, pihak polis yang sedang menjalankan Operasi Sarang mengesan rumah kedua-dua suspek berusia 22 dan 31 tahun yang dijadikan lokasi aktiviti pengedaran dadah.

Kedua-dua suspek ditahan kerana memiliki dadah jenis syabu diangggarkan seberat 6.09 gram dengan nilai pasaran RM913. Gambar SNT / Ihsan IPD Lahad Datu

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata pihaknya terpaksa menendang pintu rumah berkenaan disebabkan suspek enggan memberi bekerjasama.

“Kita kemudian menjalankan pemeriksaan di dalam rumah terbabit dan mendapati kedua-dua suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.

“Kita tidak menemui sebarang benda salah ke atas tubuh suspek. Bagaimanapun, pemeriksaan seterusnya dilakukan di dalam bilik dan menemui satu peket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah syabu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut menemui 10 gulung kertas timah di dalam poket baju jaket berwarna hitam yang terletak atas lantai di dalam bilik tersebut.

“Dadah terbabit dianggarkan seberat 6.09 gram dengan nilai pasaran RM913.

“Ujian saringan air kencing turut dilakukan dan mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis amphetamine.

“Suspek ditahan dan disiasat dibawah Seksyen Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – SabahNewsToday

13