Sabah kecewakan Pulau Pinang di Likas

Penyerang Sabah, Luis Carlos Junior meraikan kejayaan bersama rakan sepasukan selepas berjaya meledak dua gol bagi membantu Sabah menewaskan Pulau Pinang 2-0 dalam aksi Liga Perdana di Stadium Likas, di sini, sebentar tadi. – Foto Khairull Azry Bidin

KOTA KINABALU: Luis Carlos Junior meledak dua gol bagi membantu Sabah menewaskan Pulau Pinang 2-0 dalam aksi Liga Perdana di Stadium Likas, di sini, malam tadi.

Sabah tidak perlu menunggu lama untuk memperoleh gol apabila tandukan Junior hasil hantaran sepakan sudut Sabri Sahar pada minit ke-3 terus menerjah jaring.

Perlawanan selepas itu dilihat seimbang namun pasukan pelawat lebih banyak mencipta cubaan bahaya ke pintu gol Sabah dan jika bukan kerana ketangkasan penjaga gol Rozaimie Rohim, skuad kendalian Jelius Ating mungkin sudah dibolosi.

Pada minit ke-15, Rozaimie menyelamatkan rembatan Muhammad Nurfais Johari dalam keadaan satu lawan satu dan dia turut bertindak cemerlang menafikan rembatan jarak jauh Mohd Ab Aziz Ismail pada minit ke-23.

Rozaimie kemudian sekali lagi menjadi penyelamat skuad Tambadau apabila menyelamatkan rembatan penyerang import Pulau Pinang, Ndumba Makeche, juga dalam keadaan satu lawan satu pada minit ke-36.

Sabah memulakan aksi babak kedua dengan lebih garang menerusi beberapa serangan bahaya sebelum berjaya memperoleh gol kedua menerusi Junior pada minit ke-52.

Gol itu berpunca hasil gerakan Rodoljub Paunovic yang kemudian disudahkan dengan baik oleh Junior.

Pada minit ke-71, Sabah hampir menambah jaringan namun tandukan Paunovic hasil hantaran Maxsius sekadar singgah di tepi pintu gol Pulau Pinang.

Enam minit kemudian, Junior berpeluang untuk mencatat hatrik, bagaimanapun, tandukannya hasil sepakan percuma Luka Milunovic tinggi di atas palang dan kedudukan 2-0 itu kekal sehingga pengadil perlawanan, Muhammad Khairulsyahmi Ahmad Khalidi meniupkan wisel penamat. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *