BEIJING: Kedengaran mustahil pasangan kembar mempunyai dua bapa namun ia berlaku kepada pasangan China apabila ujian mengesahkan bayi kembar dilahirkan wanita itu mempunyai bapa berbeza.
Menurut laporan Daily Mail yang memetik akhbar Strait Herald, dalam kejadian di Xiamen, seorang lelaki yang mahu mendaftarkan kelahiran anak kembarnya terkejut apabila doktor memberitahu seorang bayi itu bukan anaknya.
China mewajibkan ujian DNA bagi mengesahkan hubungan ibu bapa dengan bayi yang dilahirkan.
Menurut laporan itu, suami berkenaan yang dikenali sebagai Xiaolong, berasa pelik kerana seorang daripada bayi lelaki terbabit tidak mempunyai irasnya.
Dia kemudian menyoal isterinya namun wanita itu menafikan pernah curang.
Pengarah Pusat Pengenalan Forensik Fujian Zhengtai, pusat yang melakukan ujian DNA berkenaan berkata, lelaki terbabit berang selepas mendapati keputusan ujian DNA dan sekali lagi bersemuka dengan isterinya.
Menurutnya, wanita itu pada mulanya menafikan dia pernah curang malah menuduh suaminya memalsukan keputusan ujian DNA itu.
Namun, selepas didesak, wanita itu akhirnya mengaku pernah melakukan hubungan seks dengan lelaki lain namun menegaskan hanya sekali.
Laporan akhbar itu tidak menyatakan apa yang berlaku kepada pasangan terbabit namun Xiaolong berkata, dia bersedia menjaga bayi yang disahkan sebagai anaknya namun enggan menerima kembar bayi itu.
Guardian melaporkan, kelahiran kembar dua bapa yang dikenali sebagai ‘heteropaternal superfecundation’ hanya boleh berlaku apabila wanita mengeluarkan dua telur pada satu masa dengan setiap satunya disenyawakan sperma lelaki berbeza.
Menurut pakar, peluang untuk berlakunya kelahiran kembar seperti itu adalah satu dalam 400 hingga 13,000 pasangan kembar.
Wanita perlu melakukan hubungan seks dengan dua lelaki sama ada sehari sebelum atau sehari selepas telur terhasil bagi membolehkan dua telur disenyawakan.
Pada 2014, kes sama pernah dilaporkan berlaku di China apabila seorang ahli perniagaan kaya mendapat tahu seorang bayi kembarnya tiada pertalian darah dengannya.
Dia membuat ujian DNA terhadap bayi kembar itu selepas mendapati bayi terbabit mempunyai kelopak mata yang berbeza dengannya atau ibu mereka. – Agensi