KOTA KINABALU, 29 Mac – Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew menyifatkan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt sebagai seorang pemimpin yang bekerja keras.
Beliau berkata sebagai seorang rakan, berita pemergian mendiang Stephen Wong sangat mengejutkan dan menyedihkan, selain ia adalah kehilangan buat rakyat dan negeri Sabah kerana mendiang adalah seorang pemimpin berjiwa rakyat.
Liew berkata mendiang Stephen Wong yang juga Anggota Parlimen Sandakan adalah antara rakan seperjuangan politik yang sentiasa bekerja rapat dengannya semasa kempen pilihan raya tahun lepas bagi memastikan kemenangan gabungan Pakatan Harapan di negeri itu, sekali gus menubuhkan kerajaan baharu Sabah bersama Parti Warisan Sabah (Warisan).
“Saya tidak pernah melupakan ketika kami berjuang dan bekerjasama rapat dalam kempen pilihan raya pada tahun lepas bersama Warisan sehingga membolehkan gabungan kami mengambil alih (pentadbiran) kerajaan negeri. Beliau (mendiang Stephen Wong) seorang pemimpin yang bekerja keras.
“Bagaimanapun, pemergiannya ini membuatkan saya sedih dan saya mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas memberi penghormatan terakhir ke atas mendiang Stephen Wong di Wisma Fook Lu Siew di sini, hari ini.
Orang ramai termasuk keluarga, rakan pemimpin, pegawai kerajaan dan kakitangan Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah hadir di wisma berkenaan seawal jam 9 pagi tadi untuk memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Stephen Wong.
Antara yang hadir ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedict, bekas Menteri Tugas Khas Sabah Datuk Teo Chee Kang, bekas Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Pang Yuk Ming, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Nordin Siman dan Presiden Gabungan Persatuan Masyarakat Cina Kota Kinabalu Datuk Susan Wong.
Sementara itu, Teo ketika ditemui berkata, meskipun pendirian politik mereka berbeza, namun, mendiang Stephen Wong ketika berada dalam parti pembangkang sebelum ini juga adalah seorang pemimpin bertanggungjawab dan sentiasa berani dalam menyampaikan suara rakyat.
Mendiang Stephen Wong, 65, yang juga Pengerusi DAP Sabah, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu pada pukul 12.15 tengah hari semalam dipercayai akibat serangan jantung.
Sebelum itu, Stephen Wong keluar dari rumah pada jam 5.05 pagi untuk menyertai aktiviti mendaki Bukit Tambaig di Kampung Duvanson Putatan bersempena pembukaan Tambaiq Adventure Park.
Jasad mendiang yang kini ditempatkan di Wisma Fook Lu Siew akan diterbangkan ke Sandakan pada esok pagi untuk upacara rasmi dan penghormatan terakhir sebelum mendiang dikebumikan pada Isnin.
— BERNAMA