Sabah waspada ‘cakar’ Harimau Kumbang

Jelius Ating fokus terhadap prestasi pasukan sendiri.

SABAH tetap berhati-hati walaupun memiliki kelebihan di atas kertas untuk mengatasi Pulau Pinang dalam saingan Liga Perdana di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam esok.

Ketua jurulatihnya, Jelius Ating, berkata beliau tidak begitu mengetahui kekuatan skuad Harimau Kumbang itu dan enggan terlalu memikirkannya kerana lebih mengutamakan usaha memantapkan pasukan sendiri.

“Kita tahu Pulau Pinang menang aksi terakhir mereka sebelum saingan liga berehat baru-baru ini, saya tidak begitu tahu mengenai pasukan ini namun bagi kami, semua pasukan adalah ancaman dan kami perlu berhati-hati.

“Apa paling penting ialah kita perlu memantapkan pasukan sendiri berbanding memikirkan kekuatan pasukan lain dan sudah pasti kita memburu kemenangan bagi mengukuhkan kedudukan kita,” katanya dihubungi, hari ini.

Jelius berkata, beliau akan membuat sedikit perubahan dalam kesebelasan utamanya malam esok berikutan ketiadaan pertahanan import Park Taesu yang terpaksa menjalani penggantungan perlawanan selepas mengumpul tiga kad kuning.

Katanya, tempat Taesu akan diisi pemain berpengalaman, Maffry Balang yang akan bergandingan dengan ketua pasukan, Rawilson Batuil sebagai pertahanan tengah.

“Ketiadaan Taesu memang sedikit menjejaskan kami namun saya yakin dengan pemain simpanan lain yang sentiasa bersedia untuk diturunkan.

“Kita juga bernasib baik kerana dapat mengadakan tiga perlawanan persahabatan ketika saingan liga berehat kerana kita berpeluang menurunkan semua pemain untuk beraksi termasuk menguji pasukan tanpa kehadiran Taesu,” katanya.

Jelius dijangka mengekalkan Rozaimie Rohim sebagai penjaga gol dengan dibantu empat pertahanan iaitu Rawilson, Maffry, Dendy Lowa dan Randy Baruh.

Bahagian tengah pula akan terus digerakkan Luka Milunovic dengan dibantu Sabri Sahar, Mohd Azzizan Nordin serta Maxsius Musa manakala dua penyerang import, Luis Carlos Junior dan Rodoljub Paunovic kekal sebagai pemburu jaringan buat skuad Tambadau. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *