Naik payung terbang

LELAKI itu berjaya melompat dari payung itu pada ketinggian empat meter.

ANKARA: Seorang lelaki ‘terbang’ setinggi empat meter apabila cuba menahan payung besar ketika angin kuat di Osmaniye, selatan Turki, dalam rakaman video yang tular.

Dalam video itu, dua lelaki dilihat duduk di sebuah meja kecil apabila angin tiba-tiba bertiup kencang menyebabkan payung yang kakinya beroda itu mula bergerak. Mereka bergegas menahannya sebelum seorang laelaki ketiga, dikenal pasti sebagai Sadik Kocadalli turut datang membantu.

Tiga lelaki itu memijak kaki payung berkenaan namun ia tiba-tiba ‘diangkat’ angin dan terbang dari situ. Sadik tidak sempat melepaskan pegangannya menyebabkan dia turut diterbangkan bersama.

Daily Mail melaporkan dia berjaya melompat dari payung itu pada ketinggian empat meter dan ajaibnya tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Sebenarnya saya elok saja. Saya melompat sebaik menyedari payung itu mampu terbang lebih tinggi,” katanya.

Malangnya, seorang lelaki lain, Mehmet Ali Bicakci patah kaki serta tulang rusuk apabila payung itu jatuh menimpanya, menyebabkannya pengsan. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *