BEAUFORT: Tiga beradik dipercayai terlibat dengan penyalahgunaan dadah telah berjaya ditahan di Kampung Takuli dalam satu Ops Cegah, hari ini.
Ketua Pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Beaufort Effanehwati Lakat berkata ketiga-tiga individu berkenaan berjaya ditahan di dalam sebuah rumah ketika sedang nyenyak tidur dan tidak menyangka akan kedatangan pihak AADK.

“AADK menjalankan risikan selama dua minggu bagi mengesan tiga beradik ini yang dipercayai terlibat dengan penyalahgunaan dadah melalui aduan awam.
“Kami juga berjaya menemuramah salah seorang daripada individu terbabit yang sudah berapa kali ditahan pihak polis dan juga AADK.
“Hasil bicara bersama dengan suspek, beliau menjadikan tekanan hidup dan pengaruh rakan sebaya sebagai alasan sukar untuk berhenti menagih,” katanya ketika dihubungi, di sini, pada Khamis.
Effanehwati turut menyatakan bahawa ketiga-tiga suspek adalah antara enam penagih ditahan dalam operasi berkenaan yang dijalankan bermula pukul 1 pagi hingga 5 pagi.
Tambahnya kesemua suspek berumur 28 hingga 52 tahun ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
Beliau berkata pihaknya akan membuat permohonan reman mahkamah bermula dari tarikh hari ini.
Sementara itu, jelasnya pihak AADK akan terus menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan penagihan dadah di Beaufort.
“Sebarang aduan boleh disalurkan ke pejabat AADK Beaufort atau menghubungi di talian hotline kami 013-3343493,” jelasnya. -SabahNewsToday