ICSC bernilai RM77 juta bantu pelihara Kanyon Imbak, Hutan Dara Terakhir Sabah

TONGOD: Perasmian Pusat Pembelajaran Kanyon Imbak (ICSC) bernilai RM77 juta di dalam Kawasan Konservasi Kanyon Imbak (ICCA) di sini amat ‘melegakan’ memandangkan kawasan ini ialah Kawasan Hutan Dara Terakhir Sabah.

Menyempurnakan majlis pelancaran kelmarin, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memuji kerjasama antara Yayasan Sabah dan Yayasan Petronas itu yang akan membolehkan khazanah alam semula jadi di negeri ini dipelihara dengan sebaiknya.

Melalui usahasama tersebut, Petronas menyalurkan dana melalui badan CSRnya, Yayasan Petronas membangunkan ICSC dan juga ICCA bermula tahun 2010 dalam dua fasa yang kini mencecah jumlah RM83 juta.

Pengerusi Kumpulan Yayasan Sabah Datuk Jamalul Kiram Mohd Zakaria (tiga kiri) memberi taklimat kepada Mohd Shafie (lima kiri) dan Pengerusi Petronas Datuk Ahmad Nizam Salleh (empat kiri) mengenai ICCA

Bagi pihak Yayasan Sabah pula, ia telah mewartakan Kawasan Konservasi Kanyon Imbak sebagai salah satu daripada lima kawasan konservasi termasuk Lembah Danum, Lembangan Maliau, Pesisiran Pantai Silam dan Sungai Taliwas dalam kawasan konsesinya.

Yayasan Sabah mempunyai 1 juta hektar konsesi hutan namun 60 peratus daripadanya telah diisytiharkan sebagai kawasan konservasi.

Mohd Shafie menandatangani plak perasmian ICSC, turut kelihatan kelihatan Pengerusi Petronas Datuk Ahmad Nizam Salleh (dua kanan)

Mohd Shafie yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang-Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata kerjasama yang sebegitu baik bakal membantu hasrat kerajaan mencapai hasrat 30 peratus hutan di Sabah dijadikan kawasan terlindung penuh lebih awal daripada jangkaan tahun 2025.

“Tetapi saya yakin ia dapat dicapai lebih awal berikutan langkah kerajaan dalam menjaga beberapa kawasan dengan baik termasuk usaha mewartakan hutan sebagai hutan simpan kelas satu untuk warisan generasi akan datang, ” ujarnya.

ICSC merupakan usahasama tempatan Yayasan Petronas yang pertama dan terbesar bersama Kumpulan Yayasan Sabah bagi tujuan memelihara kawasan perlindungan hutan yang telah diwartakan di negeri ini.

Mohd Shafie berkata, ICSC mampu meletakkan Sabah sebagai pusat yang boleh dilawati pelancong terutama ahli akademik dan penyelidik dari dalam dan luar negara.

Sehubungan itu, beliau amat berharap kerjasama antara Yayasan Petronas dan Yayasan Sabah ini akan dapat diteruskan.

“Terdapat banyak tumbuhan dan hidupan yang ada di kawasan ini tidak boleh ditemui di tempat lain di dunia dan itu yang perlu dikaji. Ada juga penemuan tumbuhan baharu yang didapati mengandungi khasiat perubatan.

“Maka, penubuhan pusat sebegini penting kepada kita untuk menjalankan kajian secara mendalam kerana ia mampu digunakan oleh masyarakat dunia,” katanya.

Beliau berkata bantuan daripada agensi seperti Petronas ini amat diperlukan bagi membangunkan kampung di sekitar ICCA yang masih belum mempunyai akses jalan raya yang baik serta sekolah yang masih menggunakan papan.

Disamping itu, beliau juga mahu kesedaran mengenai konservasi hutan disampaikan kepada masyarakat di peringkat akar umbi demi kesinambungan kesedaran dan langkah memelihara hutan untuk manfaat generasi akan datang.

Beliau berkata kesedaran dalam kalangan generasi muda mengenai pemeliharaan hutan amat penting kerana mereka yang bakal menjadi pemimpin masa hadapan.

Beliau menambah bahawa dengan adanya kesedaran dan ilmu pengetahuan barulah usaha konservasi hutan dapat diteruskan untuk manfaat generasi akan datang.

Mohd Shafie juga mahu usaha penguatkuasaan pembalakan haram dipertingkatkan selaras dengan langkah kerajaan mengharamkan eksport balak ke luar negara.

Dalam ucapan perasmiannya, Mohd Shafie turut memberitahu semasa perjalanan menaiki helikopter ke Kanyon Imbak beliau mendapati pembalakan masih dilakukan di suatu kawasan bukit dan mahu Jabatan Perhutanan Sabah supaya memantau keadaan itu.

Berkenaan krisis perubahan iklim, beliau berkata perkara ini adalah sesuatu yang benar-benar wujud maka itu langkah mitigasi harus diambil bermula dari sekarang.

Katanya perubahan iklim global membawa kesan buruk kepada penduduk dunia dan bagi Sabah, usaha harus digiatkan untuk tidak membiarkan kehijauan dimilikinya dimusnahkan.

Menurut kajian saintifik, semua kehidupan di bumi bakal berhadapan dengan ancaman sekiranya tiada usaha menangani perubahan iklim.

Sebelum majlis perasmian, Mohd Shafie diiringi Pengarah Yayasan Sabah Datuk Jamalul Kiram Zakaria, Pengerusi Petronas dan Yayasan Petronas Datuk Ahmad Nizam Salleh serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin meluangkan masa melawat Air Terjun Imbak.

Selepas acara perasmian, beliau turut menyaksikan majlis menandatangan perjanjian persefahaman antara Yayasan Sabah dan Yayasan Petronas bagi membangunkan ICCA untuk tempoh lima tahun.

Turut dilancarkan ialah Persatuan Porter dan Malim Kanyon Imbak.-SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *