Pak Wan buktikan kereta terbang bukan omongan

DR. Mahathir Mohamad melihat prototype air mobility sambil diiringi oleh Mohd. Redzuan Yusof atau mesra dengan panggilan Pak Wan di Pavilion Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) semasa pameran LIMA di Langkawi semalam. – UTUSAN ONLINE

LANGKAWI 27 Mac – Setelah menerima pelbagai maklum balas berbaur positif dan tidak kurang dipersendakan beberapa pihak dengan idea keperluan negara membangunkan kereta terbang, akhirnya Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof membuktikan ia mampu direalisasikan.

Kesungguhan beliau itu dibuktikan apabila menampilkan prototype air mobility dikenali sebagai Vector yang merupakan hasil rekaan syarikat tempatan sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) di Langkawi semalam.

Ia dibangunkan secara design dan engineering oleh Aerodyne Sdn. Bhd. yang menyediakan perkhidmatan penyelesaian berintegrasi berasaskan dron.

“Reka bentuk Vector yang dibangunkan khas ini dilihat bakal menjadi penanda aras dalam pembangunan ‘aerocar’ (kereta terbang) pada masa hadapan.

“Ini sedikit sebanyak menyuntik semangat syarikat tempatan untuk bersaing dalam pasaran teknologi antarabangsa selain membuktikan anak tempatan juga boleh berjaya dan bersaing di peringkat antarabangsa,” kata beliau yang lebih mesra dipanggil Pak Wan kepada Utusan Malaysia hari ini.

PROTOTYPE air mobility atau kereta terbang dikenali sebagai Vector
PROTOTYPE air mobility atau kereta terbang dikenali sebagai Vector 

Malah usaha Pak Wan itu mendapat maklum balas positif daripada Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad yang hadir melihat sendiri ‘prototype air mobility’ yang terletak di Pavilion Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) pada pameran LIMA tersebut.

Perdana Menteri yang diiringi oleh Pak Wan meluangkan masa lebih 20 minit di Pavilion MED yang turut menempatkan 12 usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam bidang pembuatan industri dan aeroangkasa.

“Langkah berani yang dilakukan anak tempatan dalam bidang pembangunan aeroangkasa hari ini merupakan antara visi dan usaha penting bagi memastikan langkah Malaysia seiring dengan negara maju lain di rantau Asia Pasifik,” kata Dr. Mahathir.

LIMA’19 kali ini menyaksikan penyertaan sebanyak 406 syarikat berkaitan pertahanan dan entiti komersil dari 32 negara melibatkan 206 syarikat tempatan dan 200 syarikat antarabangsa.

Edisi ke-15 LIMA kali ini dianjurkan bersama EN Projects (M) Sdn. Bhd., Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan.

-UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *