Pemilik kedai kopi ditikam rakan

GAMBAR HIASAN

AKTIVITI santai minum petang di sebuah kedai kopi bertukar kecoh apabila pemilik premis berkenaan ditikam rakannya dalam kejadian di Vista Kiranau dekat Penampang, semalam.

Dalam kejadian jam 6.20 petang itu, mangsa berusia 40 tahun cedera di perut selepas ditikam menggunakan pisau oleh suspek yang dalam keadaan mabuk.

Mangsa yang cedera terbaring di depan kedainya sebelum suspek ditahan orang awam yang berada di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, polis menerima panggilan melalui talian kecemasan berhubung kejadian itu.

“Siasatan awal mendapati suspek yang berusia 40-an adalah kenalan mangsa yang sedang minum di kedai milik mangsa.

“Suspek dipercayai dalam keadaan mabuk tidak berpuas hati dan marah kerana mangsa dipercayai bercakap besar sehingga berlaku perselisihan faham antara mereka,” katanya hari ini.

Katanya, pisau yang digunakan suspek untuk menikam mangsa ditemui dan suspek ditahan untuk tindakan lanjut.

“Suspek ditangkap berdasarkan maklumat orang awam dan mangsa menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth 1 serta dalam keadaan stabil.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *