‘Berani kahwin, berani daftar’

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman.

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat gamat seketika apabila Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman meminta pasangan yang gagal mendaftarkan perkahwinan supaya ‘berani kahwin, berani daftar’.

Ini kerana katanya, kegagalan pasangan mendaftarkan perkahwinan akan menyebabkan anak mereka sukar mendapatkan sijil kelahiran sekali gus menjadikan mereka tidak sah taraf.

“Saya hairan masih ada ibu bapa tidak mendaftarkan perkahwinan, apa yang dimalukan saya pun tidak tahu, sepatutnya berani kahwin beranilah daftarkan perkahwinan, ini macam berani buat takut tanggung,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ngeh Koo Ham (PH DAP-Beruas), berhubung status kanak-kanak tanpa kewarganegaraan berpunca ibu bapa tidak mendaftarkan perkahwinan mereka.

Terdahulu, Azis berkata anak pasangan bukan warganegara tidak semestinya secara automatik dianggap warganegara walaupun dilahirkan di negara ini.

Bagaimanapun, katanya sehingga kini tiada individu yang direkodkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebagai kanak-kanak tanpa kewarganegaraan.

“JPN hanya merekodkan status seseorang sebagai kewarganegaraan atau bukan warganegara berdasarkan status perkahwinan dan taraf kewarganegaraan ibu bapa mereka sewaktu kelahiran,” katanya.

Mengenai ibu bapa kanak-kanak lewat mendaftar perkahwinan atau ibu kanak-kanak terbabit bukan warganegara, Azis berkata permohonan boleh dikemukakan kepada JPN mengikut Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan dan akan dipertimbangkan sekiranya memenuhi syarat dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan.

“Menjadi tanggungjawab ibu bapa atau penjaga untuk menguruskan dokumen pengenalan diri dan dokumen perjalanan dengan negara asal kanak-kanak bertaraf bukan warganegara, sebelum kanak-kanak itu berusia 21 tahun ke bawah bagi mengelakkan isu keberadaan tidak sah di negara ini,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *