GLC jangan terbabit rasuah

Mohd Shafie pada Forum Mengenai Tadbir Urus Institusi Sabah dan Pembaharuan GLC (Syarikat Berkaitan Kerajaan), di Wisma SEDIA di Penampang, hari ini.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengingatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Sabah supaya tidak terbabit dalam gejala rasuah yang boleh menjejaskan agensi berkenaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata apa yang berlaku dalam beberapa GLC di negara ini yang terdedah dengan gejala rasuah perlu dijadikan pengajaran.

“GLC diamanahkan untuk menjadi satu landasan yang memainkan peranan aktif khususnya dalam ekonomi, peluang pekerjaan dan pembangunan. Tetapi, kadang-kadang kita melihat ada beberapa GLC yang terbabas daripada landasan.

“Ada yang terbabit dalam isu-isu termasuk yang kita katakan rasuah, seperti di peringkat nasional, Lembaga Tabung Haji ada… FELDA pun ada. Ini yang kita harus belajar agar tidak berlaku kepada GLC di negeri ini seperti Yayasan Sabah, Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) dan Sawit Kinabalu.

“Ini kerana semua GLC di Sabah, juga diwujudkan bertujuan membantu meningkatkan ekonomi negeri sekali gus memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini. Tetapi pada hari ini, kita melihat ia agak melencong dan perlu dikembalikan ke landasan utama,” katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Forum Mengenai Tadbir Urus Institusi Sabah dan Pembaharuan GLC (Syarikat Berkaitan Kerajaan), di Wisma SEDIA di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah, Tan Sri Simon Sipaun dan Ketua Pegawai Eksekutif IDS Sabah, Datuk Johan Arriffin Samad.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata, peringatan itu bukan hanya kepada GLC tetapi kepada semua peringkat pimpinan termasuk Jemaah Menteri dan pegawai tinggi kerajaan supaya sentiasa telus serta tidak terbabit dalam gejala rasuah.

Mengenai sama ada kerajaan akan mengecilkan jumlah GLC di Sabah, beliau berkata ada beberapa GLC yang tidak aktif termasuk mengalami kerugian.

“Jadi, memang (akan kurangkan jumlah GLC) sebab kita tahu ada beberapa GLC yang tidak aktif dan ada yang mengalami kerugian, yang kita sudah kenal pasti. Bagaimanapun, mana-mana agensi yang mungkin akan ditutup, kakitangannya akan diserapkan ke agensi lain,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Mohd Shafie berkata kerajaan akan memastikan GLC tidak disalahgunakan oleh ahli politik yang berkuasa.

“Kita tahu ada beberapa masalah lain membabitkan GLC muncul termasuk ada yang dikaitkan dengan rasuah yang serius. Contohnya ialah 1MDB (1Malaysia Development Berhad) selain FELDA.

“Kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kini sedang berusaha untuk menyelesaikan masalah GLC seperti 1MDB dan FELDA. Justeru, apa yang berlaku ini adalah pengajaran penting kepada kita dan seharusnya tidak membenarkan rasuah seperti ini,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *