TAWAU: Bagi masyarakat Bugis, pemakaian songkok bukan sekadar penutup kepala, sebaliknya memiliki falsafah tersendiri selain menjadi simbol status bagi pemakainya.
Songkok To Bone adalah antara kelengkapan pakaian adat orang Bugis khususnya bagi kaum lelaki yang lazimnya dipakai pada acara keramaian seperti majlis perkahwinan.
Menurut penggiat Seni, Adat dan Budaya Persatuan Komuniti Bugis Sabah (PKBS), Dahlan Ruba, 56, berkata songkok itu yang juga dikenali sebagai Songkok Pamiring kerana keunikan pada bahagian tepi dan bawahnya yang disulam dengan benang emas atau benang perak.
Katanya, asal usul Songkok To Bone diambil sempena nama sebuah daerah iaitu Bone, di Sulawesi Selatan Indonesia yang dikatakan mula-mula menghasilkan songkok berkenaan.
“Pada awalnya songkok ini dihasilkan menggunakan pelepah daun ‘Lontar’ sejenis tumbuhan yang banyak terdapat di Sulawesi Selatan terutamanya di daerah Bone sendiri.
“Walau bagaimanapun, seiring dengan perkembangan semasa terdapat banyak industri kecil dan sederhana sudah menghasilkan dan mengedarkan songkok unik ini,” katanya di sini.
Dahlan juga antara peniaga yang menjadi tumpuan apabila ramai yang singgah ke gerainya untuk membeli dan melihat songkok To Bone sempena Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) kali kelapan di hadapan Dataran Majlis Perbandaran Tawau, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata mengikut sejarah pemakaian Songkok To Bone itu pada mulanya hanya membabitkan golongan raja, bangsawan dan pembesar pada zaman pemerintahan Bugis.
Katanya, ciri-ciri yang ada pada songkok itu terutamanya pada bahagian ‘Pamiring’ melambangkan status atau darjat seseorang.
“Itu kisah pemakaian songkok Bugis zaman dulu, tetapi sekarang semua orang boleh memakainya tanpa ada perbezaan darjat atau pun keturunan,” katanya. – Berita Harian