Atu Zero sehelai sepinggang di Madinah

Atu (kiri) bersama ibunya di Madinah. Foto Atu Zero

“ESOK saya sudah mahu bertolak ke Makkah, tapi bagasi belum dapat dipastikan sama ada masih di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) atau lapangan terbang di sini,” kata anggota kumpulan Zero, Atu yang kehilangan bagasi setibanya di Madinah, Jumaat lalu bagi menunaikan ibadah umrah.

Atu, 27, atau nama sebenarnya Sharif Kunal Doli Sharif ketika dihubungi berkata, dia reda sekiranya bagasi tidak ditemui atau tidak sempat dikembalikan kepadanya.

Menurut Atu, dia juga berterima kasih kepada pihak agensi dan mutawwif yang banyak membantu bagi memudahkan urusannya di sana.

“Sudah tiga hari saya sehelai sepinggang. Saya hanya ada baju yang dipakai sewaktu ke sini, beg duit dan pasport. Jadi, apabila sampai saya terus membeli baju-T, jubah, kain ihram dan kelengkapan umrah lain sebagai persediaan sekiranya bagasi tidak ditemui.

“Apa pun, saya anggap ini adalah ujian dan reda sekiranya bagasi tidak sempat dipulangkan,” katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun, pihak syarikat penerbangan Saudi Airlines sudah memaklumkan bagasi milik Atu sudah ditemui.

“Saya difahamkan ‘luggage tag’ bagasi saya tercabut. Mungkin disebabkan itu, bagasi saya menghadapi masalah. Cuma sekarang belum dipastikan sama ada bagasi itu berada di KLIA atau Madinah. Esok baru wakil agensi di Kuala Lumpur akan ke KLIA untuk buat pengesahan. Sekiranya ada, bagasi saya akan dihantar terus ke Makkah. Jika sebaliknya, mutawwif akan ke Madinah dan ambil bagi pihak saya,” katanya.

Atu yang berangkat menunaikan umrah bersama ibunya dijangka pulang ke tanah air pada 1 April ini. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *