Salah seorang tahanan lari berjaya ditahan semula

HABIBI menunjukkan gambar suspek yang berjaya ditahan di Indah Permai petang Jumaat.

KOTA KINABALU: Salah seorang daripada empat tahanan yang berjaya meloloskan diri dari Pusat Tahanan Sementara (PTS) Manggatal berjaya ditahan semula di kawasan Indah Permai petang Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata tahanan dikenali Talam Jaafar, 27 ditahan hasil maklumat yang disalurkan orang awam.

“Bertindak dengan maklumat terbabit suspek berjaya ditahan semasa sedang berada di lampu isyarat berdekatan kawasan perumahan jam 4.45 petang.

“Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Antara tahan yang lari dari Pusat Tahanan Sementara (PTS) Manggatal pada 20 Mac lalu.

Menurutnya tiga lagi suspek masing-masing Sanny Chuan, 21, Azlan Abu Bakar Sidik, 15, dan Faisal Hamsali, 36 masih bebas dan pihaknya percaya kesemua suspek masih berkeliaran di daerah ini.

“Hasil siasatan awal mendapati kesemua suspek yang dipercayai baharu masuk ke negeri ini tidak mengenali antara satu sama lain dan hanya berkenalan semasa ditahan di PTS Manggatal itu.

“Suspek kemudiannya dipercayai berpakat pada peringkat awal semasa ditahan sebelum melarikan diri dan berpisah sebaik berjaya meloloskan diri,” katanya sambil menambah pihaknya percaya tiga suspek yang masih bebas akan dapat ditahan dalam masa terdekat.

Habibi berkata pihaknya amat menghargai kerjasama yang disalurkan oleh orang awam dengan menghubungi Pegawai Penyiasat sebaik mengesan suspek di kawasan itu.

“Kita sangat mengalu-alukan tindakan orang awam menyalurkan maklumat kepada pihak polis dalam usaha mencegah jenayah setempat bersesuaian dengan slogan ‘Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada’.

“Tiga lagi suspek masih bebas dan sesiapa yang mengesan individu ini sila hubungi pihak polis dengan kadar segera untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa hadir pada Raptai Penuh Perbarisan Sambutan Peringatan Hari Polis ke 212 di Perkarangan IPD Kota Kinabalu hari ini.

Katanya perbarisan kali ini membawa sedikit kelainan dari perbarisan terdahulu berikutan dijayakan oleh semua wanita seramai 51 anggota dan dua pegawai kecuali pembaca doa.

“Kita juga membabitkan ahli keluarga polis kerana merekalah yang menjadi kepentingan kepada setiap anggota dan keluargalah yang berjaya memberikan kekuatan kepada kami.

“Anak-anak polis turut mengambil bahagian dalam acara perbarisan ini kerana anak polis adalah lambang masa depan kita kelak,” katanya sambil menambah anak-anak polis akan melakukan persembahan karate. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *