Polis rampas 670 kilogram ikan dipercayai ditangkap guna bahan letupan

SEORANG nelayan tempatan ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) selepas disyaki menjalankan kegiatan menangkap ikan menggunakan bahan letupan di kawasan perairan Tiga Papan di Kudat. – Foto Pasukan Polis Marin W4 Sabah

KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin merampas 670 kilogram ikan dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan selepas menahan seorang lelaki di kawasan laut Tiga Papan di Kudat, semalam.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata bot dinaiki lelaki berusia 38 tahun itu ditahan pada jam 4 petang.

Hasil pemeriksaan lanjut di dalam bot tersebut menemukan 670 kilogram ikan pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM8,710, yang disyaki ditangkap menggunakan bahan letupan, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, memiliki ikan yang ditangkap menggunakan bahan letupan merupakan kesalahan di bawah Seksyen 26(1)(c) Akta Perikanan 1985.

Katanya, Polis Marin Kudat turut merampas sebuah bot jenis gentian kaca, satu unit enjin sangkut, empat tong ikan, satu alat penimbang berat ikan dan 10 gelen minyak milik lelaki itu.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM24,910. – BERNAMA

144