PPM Labuan Patahkan Cubaan Seludup Keluar 334 kotak Minuman Keras

Polis Marin Labuan Tumpaskan Sindiket Penyelupan Minuman Keras – Foto Pasukan Polis Marin W4 Sabah

LABUAN, 23.03/2019 (Sabtu) – Aktiviti penyeludupan berjaya dipatahkan Pasukan Polis Marin hasil daripada risikan maklumat Unit Risikan Marin (URM) dalam satu operasi Op Gelora Khas (Op Terancang). Dalam operasi berkenaan Pasukan Polis Marin dengan menggunakan botronda PSC 1 telah berjaya mengesan sebuah botlaju yang sedang menuju ke arah tanah besar Sabah pada malam tadi.

Timbalan Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Superintenden Abdul Nasir Bin Othman berkata, ‘apabila menyedari kehadiran botronda Polis Marin, botlaju tersebut telah memecut laju dan cuba melarikan diri. Setelah hampir 25 minit kejar mengejar oleh botronda Polis Marin, botlaju tersebut telah terkandas di kawasan cetek berhampiran Pulau Sarang Tiong, Menumbok Sabah. Dengan bantuan bot samaran Polis Marin, botlaju tersebut berjaya ditahan’.

Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati juragan serta krew botlaju tersebut telah tiada dipercayai telah melarikan diri dengan terjun ke dalam laut dan berenang ke hutan bakau berhampiran. Pemeriksaan lanjut yang dilakukan di dalam ruang kargo tersebut mendapati sejumlah bungkusan minuman keras pelbagai jenama tanpa cukai kastam.

Kesemua minuman keras sebanyak 334 kotak pelbagai jenama dirampas termasuk sebuah bot gantian kaca berwarna kelabu tanpa nombor pendaftaran dan dua unit enjin sangkut jenama Yamaha 200 hp. Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM325,940.00.

Tangkapan dan rampasan dibawa ke pangkalan Markas Operasi Pasukan Polis Marin WP Labuan untuk tindakan lanjut. Kes disiasat dibawah Akta Kastam 1967.

Penyeludupan minuman keras dan rokok sekiranya tidak dibanteras boleh mengakibatkan kerajaan mengalami kerugian dengan ketirisan nilai cukai yang besar. Pasukan Polis Marin sentiasa mengalu-alukan agar orang awam khususnya masyarakat maritim agar sentiasa menyalurkan maklumat kepada pihak polis dalam sama-sama membantu menjaga keamanan negara khususnya di perairan Sabah. – Pasukan Polis Marin W4 Sabah

Polis Marin Labuan Tumpaskan Sindiket Penyelupan Minuman Keras – Foto Pasukan Polis Marin W4 Sabah
Polis Marin Labuan Tumpaskan Sindiket Penyelupan Minuman Keras – Foto Pasukan Polis Marin W4 Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *