Petani rogol anak tiri dipenjara 27 tahun

SEKADAR GAMBAR HIASAN

KOTA KINABALU: Seorang petani tempatan berumur 50 tahun dipenjara 27 tahun selepas jenayah kejamnya merogol anak tirinya terbongkar semasa satu kelas dan taklimat mengenai seks di sebuah sekolah.

Hakim Mahkamah Sesyen Noor Hafizah Mohd Salim mendengar bahawa jenayah yang dilakukan oleh lelaki itu terbongkar semasa kelas itu apabila mangsa menceritakan kisahnya kepada gurunya.

Gurunya segera bertindak untuk membawa kes itu kepada polis dengan memberitahu ibu mangsa mengenai insiden itu.

Ibu mangsa membuat laporan polis selepas mendapat tahu mengenai insiden itu.Hukuman itu dijatuhkan kepada lelaki tersebut yang mengaku bersalah kepada tuduhan terhadapnya pada Khamis. 

Dia merogol murid berusia 11 tahun itu antara jam 7 malam dan tengah malam pada Februari tahun ini di sebuah rumah di Tenghilan, Tamparuli.

Kesalahan di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara antara lapan dan 30 tahun, serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah memerintah lelaki itu menjalani hukuman penjara mulai 7 Mac tahun ini dan tiada sebatan dikenakan padanya disebabkan umurnya.

Semasa rayuan, lelaki itu meminta hukuman ringan, mengatakan dia mempunyai lima anak dan seorang isteri untuk dijaga.Menurut lelaki itu, anak-anaknya masih kecil.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nur Faeza Jafry menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman berat atas sebab bahawa kes seperti itu amat berleluasa hari ini. 

Dia berkata mahkamah harus mempertimbangkan betapa seriusnya kesalahan itu di mana bapa tiri merogol kanak-kanak yang baru berusia 11 tahun.

Fakta kes menyatakan bahawa insiden itu terbongkar apabila mangsa menceritakan kejadian itu kepada gurunya semasa satu kelas dan taklimat mengenai seks di sekolahnya pada 4 Mac tahun ini.

Mangsa berkongsi cerita kepada guru mengenai bapa tirinya yang merogolnya.Selepas mendengar cerita itu, guru memanggil ibu mangsa ke sekolah dan kemudian membawanya ke balai polis.

Di balai polis, guru itu memberitahu insiden tersebut kepada ibu mangsa yang kemudiannya membuat laporan polis terhadap lelaki itu.

Siasatan lanjut mendedahkan bahawa lelaki itu telah merogol kanak-kanak itu sejak dia berada dalam Tahun Lima dan ia berlaku beberapa kali namun mangsa takut memberitahu ibunya mengenai perkara itu. 

Menurut mangsa, kali terakhir lelaki itu merogolnya adalah semasa cuti Tahun Baharu Cina tahun ini.

Semasa insiden itu, hanya mangsa, adiknya yang berusia tiga tahun dan lelaki itu berada di rumah kerana ibunya berada di Kudat pada waktu itu. – Harian Ekspres