Polis tahan dua penagih dengan dua senapang guli


KOTA BELUD: Serbuan pasukan polis di sebuah pondok di Kampung Bangkahak Nayasan, di sini, pada 19 Mac lepas, bukan sahaja menemukan dua penagih lelaki, tetapi juga dua laras senapang buatan sendiri jenis senapang guli.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Supt Mohd Zaidi Abdullah ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima menerima maklumat daripada orang awam berkenaan kegiatan dua suspek terbabit.Katanya, sebaik menerima aduan,  pasukan Task Force, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud segera melancarkan operasi serbuan pada jam 11.30 malam.

“Ketika serbuan dijalankan, dua suspek tempatan berusia 38 tahun dan 36 tahun leka menggunakan dadah jenis syabu sebelum kedua-duanya ditahan. 

“Malah, selain beberapa paket serbuk hablur jernih (dadah) ditemui, polis turut menemui dua laras senapang guli,” katanya.Mohd Zaidi berkata, suspek berusia 38 tahun itu mengaku kedua-dua senjata buatan sendiri itu adalah miliknya dan pernah digunakan beberapa kali bagi tujuan berburu. 

“Beberapa paket dadah sudah digunakan dan polis merampas baki dadah sebanyak 0.2 gram yang dianggarkan bernilai RM50 dan dua laras senapang berkenaan.

“Kedua-dia suspek direman bermula hari ini (Khamis) namun siasatan kes masih diteruskan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 8 (1) Akta Senjata 1960 (Akta 206),” katanya.  – Harian Ekspres

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *