SM All Saints Likas diarah tidak teruskan pengasingan kelas mengikut agama bagi pelajar tingkatan satu

KOTA KINABALU, 18 Mac – Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah mengarahkan Sekolah Menengah (SM) All Saints Likas di sini tidak meneruskan pengasingan kelas mengikut agama bagi pelajar tingkatan satu di sekolah itu.

Arahan itu dibuat selepas menterinya Datuk Dr Yusof Yacob dan Timbalan Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Dr Mohd Kassim Mohd Ibrahim melawat sekolah itu hari ini dan mengadakan perjumpaan dengan pengetua sekolah itu Dr Mary Gambidau.

Pada sidang media selepas perjumpaan itu, Yusof berkata tindakan pihak pengurusan sekolah melakukan pengasingan kelas mengikut agama bagi pelajar tingkatan satu itu perlu dihentikan dengan serta-merta dan dikembali kepada kaedah sebelum ini.

Justeru, beliau berkata isu tersebut sudah selesai dengan pengetua sekolah itu mengakui kesilapannya membuat dan melaksanakan keputusan itu dengan terlepas pandang isu lain.

“Isu ini tidak besar dan terpencil, kita telah selesaikan dengan mengambil kira faktor kita di Sabah kena memahami kekuatan perpaduan kita iaitu keharmonian hidup tanpa dipisahkan oleh perbezaan kaum dan agama.

Pada awal bulan ini, satu kutipan petisyen dibuat oleh gabungan ibu bapa pelajar tingkatan satu sekolah tersebut dan dihantar kepada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Dalam petisyen tersebut, ibu bapa pelajar mendakwa bermula Januari lepas, pengetua sekolah telah mengasingkan kelas tingkatan satu mengikut agama iaitu empat kelas untuk pelajar bukan Islam dan dua kelas untuk pelajar Islam yang akan berterusan hingga tingkatan tiga.

Kaedah lama yang diguna pakai terhadap pelajar tingkatan dua hingga lima ialah terdapat enam kelas bercampur agama yang mana ketika masa Pendidikan Moral atau Agama Islam, pelajar akan memasuki kelas mengikut subjek yang diambil.

Yusof berkata kementeriannya akan memastikan perkara itu tidak berlaku di mana-mana sekolah negeri ini yang selaras dengan dasar bahawa tidak ada garis pemisah kaum dan agama.

Ditanya jika ada tindakan diambil terhadap pengetua SM All Saints itu, beliau berkata tiada tindakan diambil terhadap beliau kerana isu itu diselesaikan dalam suasana harmoni.

Beliau meminta ibu bapa pelajar tingkatan satu sekolah itu tidak risau disebabkan kementeriannya dan Kementerian Pendidikan mengambil berat perkara ini dan mencari jalan penyelesaian.

Katanya apa yang penting adalah keharmonian di sekolah itu dipereratkan lagi pada masa akan datang.

— BERNAMA 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *