Pencuri punca gangguan telekomunikasi

Mohammad Azwan mendakwa siasatan awal mendapati perkhidmatan telekomunikasi terjejas selepas jana kuasa bergerak di menara telekomunikasi dirosakkan. – Gambar Ihsan PDRM

GANGGUAN perkhidmatan syarikat telekomunikasi di kawasan Kampung Pinangah, Tongod, Kinabatangan, Sabah, dilaporkan berlaku akibat perbuatan khianat, Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, menara telekomunikasi berkenaan dikesan diceroboh individu tidak bertanggungjawab sebelum beberapa peralatan penting dirosakkan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kinabatangan Asisten Superintendan Mohammad Azwan Abdul Wahab berkata, siasatan awal mendapati perkhidmatan telekomunikasi itu terjejas selepas jana kuasa bergerak (genset) di menara berkenaan dirosakkan.

Katanya, pemeriksaan juruteknik syarikat itu mendapati pagar menara berkenaan turut dipotong dan beberapa barangan juga hilang termasuk minyak bekalan jana kuasa.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, paip minyak jana kuasa berkenaan dicabut dan disyaki dicuri bersama bahan api sebanyak kira-kira 400 liter membabitkan kerugian kira-kira RM800.

“Wakil syarikat telekomunikasi itu kemudiannya membuat laporan Balai Polis Tongod untuk makluman dan tindakan pihak polis,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat terhadap harta benda awam.

“Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *