Pemandu parah pesawat langgar kereta

KEADAAN Perodua Kembara selepas dilanggar pesawat peribadi di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, hari ini.

PEMANDU kenderaan kejuruteraan parah pada bahagian kepala selepas kenderaan itu dilanggar pesawat peribadi yang baru mendarat di landasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, di Subang, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian 3.20 pagi itu, bahagian bumbung kenderaan jenis Perodua Kembara terbabit tercabut selepas terkena bahagian sayap pesawat berkenaan, manakala pemandunya tersepit di tempat duduk pemandu sebelum dibawa ke Pusat Perubatan Sime Darby, Subang Jaya, untuk menerima rawatan.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam satu kenyataan berkata, operasi penerbangan pesawat di lapangan terbang itu terganggu seketika bagi memberi ruang untuk siasatan dan mengalihkan kenderaan serta serpihannya.

“Satu kejadian kemalangan berlaku di landasan lapangan terbang itu, membabitkan sebuah pesawat peribadi dengan kenderaan kejuruteraan. Kami dukacita memaklumkan kakitangan yang juga pemandu Perodua Kembara parah.

“Mangsa kini sedang menjalani pembedahan dan kami memastikan dia mendapat rawatan terbaik dan mendoakan semoga dia cepat pulih,” kata kenyataan itu. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *