74 kampung di Kadamaian terlibat program 5K

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick – Facebook Page Ewon Benedick

KOTA KINABALU, 18 Mac – Sebanyak 74 kampung di Kadamaian, Kota Belud terlibat dalam program Kebersihan, Keceriaan, Keselamatan, Keharmonian dan Kesejahteraan (5K) yang akan dilancarkan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick di Padang Dudan, Kampung Piasau pada 23 Mac ini.

Program 5K adalah satu pelan transformasi menyeluruh Kadamaian bertujuan membentuk komuniti mampan di kawasan berkenaan dalam pelbagai aspek selain mengambil kira rangka kerja Gerakan Desa Wawasan sebagai panduan asas.

Ewon berkata program menerusi Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kadamaian itu juga adalah platform bagi memperkasa dan menggerakkan kesemua kampung terlibat dengan projek kecil sosioekonomi seterusnya meningkatkan keupayaan serta daya saing penduduk.

“Kami berharap program menekankan penglibatan penduduk desa dalam proses perancangan program pembangunan ini akan dapat meningkatkan kesedaran ke arah kesejahteraan luar bandar,” katanya yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Kadamaian dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata komuniti kampung terlibat perlu membangunkan 12 kriteria termasuk kebersihan dan keceriaan, pendidikan dan kemahiran, ekonomi berasaskan pertanian dan komuniti, kepimpinan, keselamatan, infrastruktur, kesihatan dan pembangunan teknologi maklumat bagi mencapai objektif program.

Ewon berkata penilaian program 5K Komuniti Kadamaian berkenaan akan dilaksanakan dalam tempoh setahun yang melibatkan dua peringkat iaitu enam bulan selepas dilancarkan dan enam bulan seterusnya untuk menentukan pemenang.

“Program ini memperuntukkan RM100,000 dalam bentuk projek kecil melibatkan kesemua kampung terbabit, dan program ini diharapkan mampu membuat anjakan paradigma khususnya dalam mencapai kesejahteraan dan meningkatkan sosioekonomi komuniti Kadamaian secara menyeluruh,” katanya.

Ewon berkata program itu turut menyasarkan untuk mencapai tujuh teras inisiatif pembangunan luar bandar iaitu pembangunan insan cemerlang, pengukuhan institusi keluarga, pembangunan masyarakat, penyediaan infrastruktur berkualiti, pembangunan modal insan dan pembangunan ekonomi mampan.

Dengan aspirasi pembangunan luar bandar jitu dalam Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar 2018-2023: Luar Bandar Sejahtera akan mampu melonjakkan lagi komuniti Kadamaian pada satu tahap baharu, katanya.

— BERNAMA

391