Ordinan Negeri Akan Diubahsuai – Shafie

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan mengubah beberapa perkara dalam ordinan negeri bagi memberi kuasa penuh kepada Pejabat Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk meluluskan pelan pembangunan di peringkat daerah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, perubahan ordinan itu akan dikemukakan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah yang akan datang.

”Untuk memberikan kuasa kepada Pejabat dan Majlis Daerah untuk meluluskan pelan pembangunan, kita perlu sedikit perubahan dalam ordinan negeri.

”Kita akan ubahsuai perkara yang perlu dalam sidang dewan akan datang supaya pemberian kuasa itu dapat dilaksanakan.

”Tetapi dalam masa yang sama, kita masih boleh melaksanakannya namun, harus diingat kita perlu mengubah ordinan peringkat negeri,” katanya ketika ditanya tindakan Kerajaan Negeri selanjutnya selepas memansuhkan Lembaga Perancangan Pusat.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Taklimat Khas Program Pengakuan Sukarela Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), di sini pada Ahad.

Mohd Shafie berkata, langkah memberi kuasa kepada Pejabat Daerah dan PBT itu sebagai langkah mempermudah dan mempercepatkan proses kelulusan pelan pembangunan peringkat daerah.

”Bagaimanapun, saya akan menetapkan instrumen tertentu untuk memastikan tiada penyalahgunaan kuasa mahupun kegiatan rasuah akan berlaku di peringkat daera.

”Kita akan menentukan pendekatan yang ada diperhalusi supaya jangan pula Pejabat Daerah dan PBT menyalahgunakan kuasa sesuka hati,” ujarnya.

Mohd Shafie berkata, dengan pemansuhan lembaga perancangan itu, Pejabat dan Majlis Daerah perlu menyelaraskan kelulusan dan maklumat pelan pembangunan yang ada dengan memaklumkan kepada kepimpinan Kerajaan Negeri.

Maklumat yang ada perlu dikoordinasikan dan kelulusan perlu diberikan dalam tempoh yang singkat agar pembangunan dapat dilakukan.

Dalam masa yang sama, kerajaan juga akan memantau proses pembangunan yang ada di peringkat daerah supaya tidak mendatangkan bahaya kepada persekitaran.

”Kita mahu memberikan kuasa kepada Pejabat dan Majlis Daerah sebab sebelum ini ada permohonan pelan pembangunan yang mengambil masa sehingga 10 hingga 15 tahun untuk diluluskan. Ini tidak akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

”Jika projek pembangunan tertangguh, ia akan merugikan komuniti peniaga kerana harga bahan mentah mungkin berubah dalam tempoh beberapa tahun.

”Namun dalam memberi kelulusan, Pejabat dan Majlis Daerah perlu mengenalpasti kesesuaian tempat. Jangan pula pembangunan dilakukan di kawasan sekolah dan perumahan. Kita tidak akan meluluskannya,” katanya.

Pada 16 Ogos tahun lalu, Mohd Shafie menyatakan hasrat kerajaan untuk menstrukturkan Lembaga Perancangan Pusat dengan memperkenalkan skim baharu untuk mempercepatkan proses pembangunan perumahan dan hartanah di Sabah. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *