Penjaga gol futsal NZ turut terbunuh

PENDUDUK meletakkan bunga di hadapan Masjid Umar di Christchurch sebagai tanda memperingati mangsa serangan pengganas. – Foto AFP

WELLINGTON: Bolasepak New Zealand (NZF) mengesahkan penjaga gol futsal kebangsaan mereka, Atta Elayyan adalah antara mangsa yang terkorban susulan serangan pengganas di Christchurch, kelmarin.

Pemain berusia 33 tahun itu melakukan 19 penampilan antarabangsa kelas A bersama Futsal Whites dan beraksi bersama Mainland Futsal di peringkat domestik.

“Masih sukar untuk kita menerima kejadian yang berlaku di Christchurch kelmarin,” kata Pegawai Eksekutif NZF, Andrew Pragnell dalam satu kenyataan.

“Mewakili pihak NZF, kami menyampaikan doa kepada semua individu yang terkesan dengan tindakan keganasan yang sungguh kejam ini.

“Komuniti futsal sememangnya begitu rapat dan berita kematian Atta sangat mendukacitakan semua yang terbabit dalam sukan ini. Kami merasai kesakitan dan kedukaan mereka.”

Sementara itu, rakan sepasukan Elayyan di Futsal White, Josh Margetts menawarkan sokongan kepada keluarga mangsa dan menyifatkan Elayyan sebagai ‘lelaki hebat yang pasti dirindui.’

“Atta seorang lelaki yang hebat dan disayangi semua orang dalam pasukan kebangsaan dan juga komuniti futsal,” kata Margetts.

“Tiada kata yang dapat menggambarkan perasaan kami ketika ini. Satu kehilangan yang besar dan dia sudah pasti akan dirindui.

“Kepada keluarga Atta, kami bersimpati dengan kehilangan ini. Kami tidak dapat bayangkan apa yang anda lalui namun ketahuilah, kami juga menyayangi anda dan kami akan sentiasa di sisi anda sepanjang tempoh sukar ini.”

– AGENSI

89